Gill (tengah) ketika pelancaran Coca-Cola zero di pasaran Malaysia.
THE Coca-Cola Company (Coca-Cola) merancang memperkenalkan minuman ringan terbaharunya, Coca-Cola zero yang tidak mengandungi gula dan kalori kepada syarikat makanan segera di Malaysia.
Pengurus Besar Coca-Cola bagi rantau Malaysia-Singapura-Brunei, Gill McLaren berkata, langkah itu dilakukan bagi meluaskan pasaran produk keluaran terbaharunya yang baru sahaja dikeluarkan di pasaran Malaysia.
“Coca-Cola akan mempromosikan Coca-Cola zero kepada syarikat makanan segera yang menjual produk kami antaranya McDonalds dan Burger King.
“Kami berharap Coca-Cola zero akan menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna di Malaysia,” katanya selepas pelancaran Coca-Cola zero, di Kuala Lumpur, semalam.
Gill berkata, Coca-Cola zero diperkenalkan buat pertama kalinya di Australia pada 2005 dan telah memasuki 149 negara.
“Malaysia menjadi negara ke-150 kemasukan Coca-Cola zero. Coca-Cola zero ini merupakan satu-satunya inovasi paling maju The Coca-Cola Company sejak ditubuhkan 25 tahun lalu dengan jenama ini kini bernilai AS$7 bilion (RM25.37 bilion),” katanya.
Menurutnya, syarikat itu menyasarkan peningkatan dua kali ganda dalam penjualan Coca-Cola zero di pasaran Malaysia.
“Tinjauan pasaran di Malaysia mendapati, pelanggan Coca-Cola pada mulanya khuatir tentang kandungan Coca-Cola zero yang bebas gula.
“Namun, setelah merasainya sendiri, mereka amat kagum dengan keenakan rasanya yang setanding dengan Coca-Cola asli walaupun tanpa gula,” katanya.
Coca-Cola zero dikeluarkan di kilang Coca-Cola di Malaysia dan Singapura yang mempunyai sijil halal.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment