STRATEGI KELIMA: MEMARTABAT PERANAN WANITA
119. Sesungguhnya wanita sangat istimewa. Keunikan mereka bukan sekadar penyeri kepada sesebuah keluarga, malahan menjadi penyuluh dalam mengatasi banyak permasalahan kehidupan. Bahkan wanita itulah tulang belakang pembangunan negara. Sesuai dengan itu, Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam memastikan mereka terus berperanan dalam mewarnai negara dan generasi mendatang.
120. Pada masa ini, pekerja wanita hanya mewakili 38 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di negara ini. Bagi meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara, Kerajaan akan menumpukan kepada usaha mempergiatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan, Atas tujuan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diperuntukkan sejumlah 2,26 bilion ringgit bagi pembangunan dan operasi. Antaranya program-programnya termasuklah:
Pertama: Memperkukuh Program Pengarah Wanita bagi mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan, Kerajaan merancang untuk melatih 125 orang bakal pengarah wanita untuk mengisi jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta, Saya menyeru syarikat milik Kerajaan dan swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita profesional menjadi ahli lembaga pengarah;
Kedua: Menambah baik peluang wanita untuk kembali ke pasaran kerja melalui program 1Malaysia Support for Housewife yang menitikberatkan latihan kemahiran dan galakan suri rumah; dan
Ketiga: Talent Corp akan mewujudkan Program Women Career Comeback untuk wanita profesional kembali ke pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan profesional.
121. Kerajaan juga sentiasa peka terhadap kesejahteraan golongan wanita terutamanya dari aspek keselamatan, Sehubungan itu, Kerajaan akan membeli premis Rumah Perlindungan Khas Wanita mengikut zon wilayah timur, utara dan tengah, Selain itu, bagi memberi peluang kepada ibu tunggal yang berminat dalam keusahawanan, Kerajaan akan meneruskan Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal atau I-KIT, Program Inkubator Keusahawanan Wanita dan Program Teras Pembangunan Wanita.
122. Seterusnya, susulan daripada pembiayaan keseluruhan yang disediakan di bawah AIM, usahawan wanita India akan diberi peruntukan khusus sebanyak 30 juta ringgit.
123. Selain itu, bagi Penjawat Awam, Kerajaan bersetuju menambah baik kemudahan Cuti Menjaga Anak dengan meminda syarat pemberian supaya tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin berkuat kuasa 1 Januari 2015. Kemudahan ini terhad untuk tempoh satu tahun dan diperluaskan kepada pegawai wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang diambil mengikut undang-undang, anak pelihara dan anak kurang upaya.
124. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda. Mulai Januari 2015, Kerajaan akan membenarkan majikan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tuntasnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini, sudah tentu mampu mengangkat martabat wanita, dalam berperanan aktif di persada negara.
No comments:
Post a Comment