Ibu mangsa (kanan) kelihatan sugul ketika menunggu jenazah bayinya dibedah siasat di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman. Gambar kecil: Nur Hazatul Maira.
KEMAMAN - Seorang bayi perempuan berusia lima bulan meninggal dunia ketika sedang tidur sendirian di dalam rumahnya di Bukit Kuang, di sini, pagi kelmarin.
Mangsa, Nur Hazatul Maira Mohd Azizi ditemui dalam keadaan kaku oleh ibunya yang masuk semula ke rumah selepas bersembang dengan jiran di hadapan rumah mereka, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.
Ibu mangsa, Suliana Othman, 37, berkata, selepas berbual seketika dengan jiran, dia masuk semula ke dalam rumah dan mendapati anaknya pucat.
Menurutnya, dia kemudian membawa anaknya ke bahagian hadapan rumah sambil memanggil jiran dan mengejutkan suami, Mohd Azizi Mustakim, 28, yang sedang tidur serta abang iparnya, lalu membawa anaknya itu ke Klinik 1Malaysia Teluk Kalong.
“Sebaik sampai, pihak klinik mengarahkan kami membawa anak ke Hospital Kemaman, tapi sejurus tiba di hospital, doktor sahkan anak saya sudah meninggal dunia.
“Sebelum ini, anak saya menghidap asma dan demam tidak serius menyebabkan saya tidak sangka ia boleh membawa maut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman.
Sementara itu, jiran mangsa, Nor Zaidah Dahlan, 48, berkata, sepanjang berjiran dengan keluarga mangsa, dia tidak pernah mendengar bayi itu menangis atau kesakitan, malah keadaan bayi perempuan itu nampak sihat sejak dilahirkan.
“Saya terkejut selepas diberitahu bayi itu berada dalam keadaan tidak bermaya dan ketika ibunya memangku tubuh kecil itu sambil keluar minta tolong, dipercayai bayi itu sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat dilakukan pakar forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu mendapati, kes itu tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment