PERNAHKAH anda menonton filem 2012, filem yang menceritakan kononnya bagaimana dunia bakal berdepan dengan hari kiamat?
Kini sebuah lagi filem yang menggambarkan dunia beberapa tahun sebelum menjelangnya hari kiamat, di mana ada berjuta-juta umat manusia hilang begitu sahaja.
Filem ini juga merupakan sebuah adaptasi daripada sebuah novel berjudul sama. Novel Left Behind merupakan 12 siri novel terlaris hasil karya Tim LaHaye dan Jerry B Jenkins.
Ia merupakan novel yang berkisarkan kepercayaan agama Kristian beberapa tahun sebelum menjelang kiamat.
Novel tersebut pertama kali diadaptasi ke layar perak pada tahun 2000, menerusi Left Behind : The Movie. Selepas itu diikuti sekuel Left Behind II : Tribulation Force yang digarap berdasarkan novel Left Behind: World At War.
Kemudian, pada tahun 2010, Cloud Ten Pictures mengumumkan untuk membuatkan penggambaran semula filem Left Behind, dengan mempertaruhkan pelakon hebat, Nicholas Cage di samping Chad Michael Murray, Lea Thompson dan ramai lagi.
Filem arahan Vic Armstrong ini mengisahkan sekumpulan manusia yang terselamat setelah berjuta orang termasuk kanak-kanak lenyap secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.
Yang tinggal hanya pakaian atau barangan yang dipakai dan dibawa mereka sebelum mereka lenyap begitu sahaja. Lebih haru-biru apabila ada kereta yang bergerak laju tidak dapat dikawal kerana pemandunya hilang, begitu juga dengan kapal terbang yang terbang tanpa pengawasan pemandunya dan yang terselamat mencari ahli keluarga mereka yang hilang.
Rayford Steele (Nicolas Cage) adalah seorang juruterbang pesawat jumbo, turut berdepan dengan situasi panik ini apabila ramai penumpangnya hilang secara tiba-tiba termasuk pembantu juruterbang.
Dia dengan bantuan anak kapal yang tinggal bersama wartawan terkenal, Cameron “Buck” Williams (Chad Michael Murray) cuba menenangkan penumpang yang lain.
Dalam masa yang sama Steele terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang JFK, New York kerana masalah kehilangan itu dan ditambah lagi dengan kerosakan yang dialami oleh pesawat kendaliannya. Bukan itu sahaja, Steele turut berharap untuk bertemu dengan keluarganya buat kali terakhir.
Chloe (Cassi Thompson) adalah anak perempuan Steele, yang baru sahaja pulang daripada tempat pengajiannya. Ketika sampai di rumah, dia bergaduh dengan ibunya yang berpegang kuat dengan agama Kristian.
Sewaktu membawa diri ke pusat membeli-belah, adiknya hilang secara tiba-tiba dan menyebabkan Chloe panik untuk mencari jawapan di sebalik kehilangan itu.
Begitulah antara serba sedikit jalan cerita filem Left Behind tersebut. Secara keseluruhannya, apa yang boleh penulis katakan, ia adalah filem mengenai kepercayaan agama Kristian.
Namun sayangnya, Armstrong tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengapa ia terjadi, apa yang akan terjadi seterusnya kepada mereka yang tinggal.
Walaupun mempunyai sebuah plot yang agak menarik, namun ia tidak dirungkai dengan baik seperti filem 2012 dan menyebabkan penonton hilang rasa teruja.
Sejak awal permulaan cerita, Armstrong gagal ‘mengunci’ perhatian penonton dengan babak perbualan yang panjang berjela-jela.
Jika babak kehilangan itu diolah dengan lebih dramatik, termasuk memberi perhatian kepada mereka yang tinggal dengan lebih mendalam lagi, ia mungkin akan menjadikan filem ini lebih menarik.
Cage jadi penyelamat
Mujur Armstrong mempunyai barisan pelakon yang cukup hebat yang diketuai oleh Cage, yang membuatkan penonton akan terus setia untuk mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya dan seterusnya.
Seperti biasa, lakonan Cage tidak perlu dipertikaikan lagi kerana berjaya meninggalkan rasa sedih, emosi di atas kehilangan dan ketakutannya kehilangan orang yang disayangi.
Daripada karakter seorang kapten kapal kasanova, Cage kemudiannya berjaya menyentuh perasaan penonton dengan kekesalan yang dilaluinya.
Selain itu, pelakon baru, Murray, pada pendapat penulis perlu diberi perhatian. Lakonannya cukup bersahaja, namun gandingannya di sisi Cage tidak sedikit pun membuatkan dia nampak kerdil.
Kesan khas
Jika menyentuh aspek teknikal pula, apa yang boleh penulis katakan, filem ini ibarat sebuah filem yang menggunakan bajet rendah.
Biarpun tidak mempunyai sebarang masalah dari sudut bunyi, visual, namun sedikit mengecewakan jika bercakap mengenai aspek pencahayaan.
Begitu juga dengan Imej Janaan Komputer (CGI) yang tampak tidak cantik, melibatkan babak akhir. Namun ia tidak merosakkan filem ini secara keseluruhannya.
Apa pun, bagi anda yang ingin mengetahui nasib mereka yang tinggal, nasib Chloe, Steele dan Buck, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment