STRATEGI KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA
101. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
102. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera sama ada Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak adil dan tidak saksama.
103. Hatta, sejarah telah membuktikan sejak puluhan tahun dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaari kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Apatah lagi menjelang 2020, jumlah Melayu dan Bumiputera, Islam dan Bukan Islam, akan mencapai lebih 70 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
Tindakan Pertama: Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Bumiputera
104. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat, masyarakat Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus. Sementara itu, effective control ke atas syarikat korporat terkini, hanyalah pada sekitar 10 peratus. Lantaran itu, Kerajaan menerusi EKUINAS akan diperuntukkan 600 juta ringgit bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat-syarikat swasta mahupun GLC. Sehingga kini, EKUINAS telah melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai 2.3 bilion ringgit dalam pelbagai sektor.
Tindakan Ke-2: Memantapkan Keusahawanan Bumiputera
105. Bagi melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera, beberapa inisiatif telah dirancang:
Pertama: Memperkukuh peranan Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN sebagai Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Burniputera;
Kedua: Merancakkan lagi program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan peruntukan tambahan sebanyak 30 juta ringgit. Program ini juga akan diperluaskan penyertaannya kepada usahawan di Sabah dan Sarawak;
Ketiga: Memperkenalkan program pre-eksport untuk syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS bagi meningkatkan penjenamaan, pensijilan antarabangsa, dan market survey keluaran Bumiputera. Program ini mensasarkan 60 syarikat TERAS yang dapat meningkatkan kapasiti dan menembusi pasaran antarabangsa; dan
Keempat: Memperluaskan program carve-out and compete secara meritokrasi meliputi projek Kerajaan dan penswastaan, termasuk projek MRT jajaran kedua dan Lebuhraya Pan Borneo.
Tindakan Ke-3: PKS Bumiputera
106. Bagi PLS Bumiputera pula, antara inisiatif-inisiatif khusus yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2015 adalah seperti berikut:
Pertama: Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi menyedia kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai antara 50 ribu hingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015; dan
Kedua: Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM akan menggunakan sumber dalaman berjumlah 1.8 bilion ringgit untuk menyediakan pembiayaan yang dapat memanfaatkan 346 ribu sahabat AIM.
Tindakan Ke-4: Membangunkan Modal lnsan Bumiputera
107. Sebagai sebuah institusi unggul Bumiputera, MARA perlu terus diperteguhkan. Pastinya, antara aspek yang terpenting ialah Pembangunan Modal Insan. la merupakan salah satu pelengkap bagi Memperkasa Agenda Bumiputera. Dalam hal ini Kerajaan telah menyediakan inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama: 2 bilion ringgit diperuntukkan menerusi MARA kepada pelajar Bumiputera yang layak untuk tajaan pelajaran;
Kedua: 72 juta ringgit akan digunakan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dalam pelaksanaan 3 program dalam bentuk biasiswa, latihan dan bantuan kewangan yang keseluruhannya melibatkan 5 ribu orang; dan
Ketiga: Menubuhkan Pusat Perakaunan Profesional di Universiti Teknologi Mara dengan kerjasama Institut Akauntan Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
108. Sememangnya, Kerajaan sentiasa mengambil berat dan amat prihatin dalam membangun dan membela nasib rakyat di Sabah dan Sarawak dalam agenda pembangunan negara.
109. Sehubungan itu, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara-Selatan telah mentransformasikan pembangunan dari Perlis ke Johor, Kerajaan akan mula membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak 27 bilion ringgit.
110. Menerusi NBOS pula, satu lagi mini UTC dan RTC masing-masing di Sabah dan Sarawak akan dibuka bagi memudahkan urusan masyarakat di pedalaman dan bandar.
111. Membina Klinik Kesihatan di Tenom, Sabah dan di Lubok Antu, Sarawak, serta menaik taraf kemudahan di Hospital Tawau. Kerajaan akan turut menyediakan perkhidmatan perubatan nuklear dan radioterapi bagi merawat pesakit kanser di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas Sabah.
Tuan Yang Dipertua,
112. Negeri Sabah merupakan negeri yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang dan luas. Justeru, bagi memperkukuhkan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZONE, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM diperuntukkan 660 juta ringgit.
113. Dua batalion melibatkan satu batalion PGA PDRM dan satu batalion Tentera Darat dengan jumlah anggota baru seramai 1,280 anggota telah diluluskan. Dua buah kem juga akan dibina di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem ATM di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
114. Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan keselamatan akan ditambah baik. Antaranya perolehan sistem radar pengawasan yang berkeupayaan tinggi. Kerajaan juga akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah kapal auxiliary sebagai Sea Basing di perairan ESSZONE dengan peruntukan sebanyak 230 juta ringgit melalui program CSR Petronas.
115. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, Kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan, dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.
116. Kerajaan juga akan menempatkan semua perkampungan-perkampungan air seperti di Semporna dan Sandakan secara berperingkat. Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti ekonomi akan terus rancak.
Tuan Yang Dipertua,
117. Sebagai Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan di Sabah dan Sarawak, julung-julung kalinya subsidi padi bukit diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kawasan penanaman seluas 76,000 hektar.
118. Hakikatnya, Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan rakyat, terutama yang melibatkan aspek kos sara hidup seharian mereka. Justeru, Kerajaan akan berusaha untuk terus menyeimbangkan harga barang keperluan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui langkah-langkah berikut:
Pertama: 262 juta ringgit bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan harian terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan
Kedua: Tambahan 2 buah KR1M di Sabah menjadikan jumlah 16 buah dan 3 buah lagi di Sarawak menjadikan 19 buah.
Sesungguhnya, agenda pembelaan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak, Agi Idup Agi Ngelaban, akan tatap kita perjuangkan.
No comments:
Post a Comment