Laporan muka depan Sinar Harian 21 Oktober lalu.
PETALING JAYA - Penganjur kempen sentuh anjing, Syed Azmi Alhabshi menyatakan permohonan maaf atas sebarang kontroversi yang berbangkit mengaitkan program anjurannya, Ahad lalu.
Menurutnya, program itu proses pembelajaran untuk menghormati makhluk ALLAH yang kian dipandang hina dan didera oleh masyarakat.
"Saya ingin memohon maaf di atas sebarang ketidaksenangan yang berbangkit disebabkan program 'I Want To Touch A Dog'.
"Program ini bertujuan untuk mengatasi rasa takut terhadap anjing, cara membantu anjing jika ia berada dalam kesulitan dan batasan bersama anjing dalam konteks Islam," katanya ketika membaca kenyataan akhbar pada sidang media khas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa program itu sama sekali tidak menggalakkan anjing sebagai haiwan peliharaan.
"Segala pencerahan mengenai hukum-hakam pengendalian anjing telah diterangkan semasa program tersebut.
"Ingin saya tekankan sekali lagi, program ini adalah proses pembelajaran. Oleh itu, kaedah sertu (samak) juga telah diterangkan dan amali telah dikendalikan," katanya.
Akui program tersebut mempunyai kelemahan, beliau sekali lagi meminta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dek penganjuran program tersebut.
"Terima kasih atas komen-komen diterima. Ini adalah proses pembelajaran bagi saya. Saya dengan sejujurnya tidak mempunyai niat untuk mengguris sensitiviti rakyat Malaysia.
Mengenai kelulusan-kelulusan rasmi bagi anjur program itu, kami telah bertemu dan berbincang dan kami diberikan surat menerangkan garis panduan pengendalian anjing menurut Islam oleh Jabatan Mufti Selangor sebagai panduan untuk laksana program ini," katanya.
Syed Azmi turut ditemani peguamnya, Syahredzan Johan dan rakan penganjurnya, Norhayati Ismail.
Selesai membaca kenyataan, Syed Azmi dilihat meninggalkan sidang media dan segala pertanyaan media dijawab oleh Syehredzan dan Norhayati.
Menurut Syahredzan, Syed Azmi meninggalkan sidang media berkenaan atas alasan keselamatan ekoran pernah menerima ancaman bunuh.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment