Sunday, 26 October 2014

Ibu rayu anak gadis pulang

May Lee bersama suami dan seorang anak mereka ketika bertemu media dan Andy untuk membantu anaknya pulang.
May Lee bersama suami dan seorang anak mereka ketika bertemu media dan Andy untuk membantu anaknya pulang.

KUANTAN - Pasangan suami isteri dari Lorong Seri Teruntum dekat sini merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri pulang ke pangkuan keluarga dan mahu semua masalah diselesaikan dengan baik.

Tan Hong Beng, 44 dan Wong May Lee, 44 bagaimanapun mengesyaki anaknya, Tan Wan Lin, 18, mengikut seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali Tun Tun Oo kerana mereka pernah bercinta sebelum dihalang keluarga.

May Lee berkata, tiga laporan polis bertarikh 22 September, Isnin dan Rabu lepas dibuat berkaitan lelaki berusia 30an itu kerana cuba mengganggu ketenteraman keluarga berkenaan.

Katanya, selepas menerima maklumat anaknya ponteng sekolah pada Ogos dan September lalu, dia berjumpa dengan lelaki berkenaan yang berjanji tidak menjalin hubungan dengan anaknya.

Bagi mengukuhkan janji lelaki berkenaan, May Lee meminta lelaki itu menandatangani surat aku janji pada 23 September lalu supaya tidak berjumpa anaknya dan meninggalkan Kuantan selama-lamanya.

Menurutnya, Wan Lin turut menandatangani surat aku janji bertarikh sama supaya tidak ponteng atau melarikan diri dari rumah.

“Malangnya, anak saya keluar rumah antara jam 5.30 pagi hingga 7 pagi Isnin lalu dengan meninggalkan sekeping nota,” katanya.

Antara kandungan surat itu katanya, anaknya mahu dia menganggap dia keluar bekerja dan menimba pengalaman selain cuba hidup sendiri.

Wan Lin juga mahu berdikari selepas keluarga membantah hubungan mereka.

“Saya juga sayang ibu kerana banyak beri galakan. Tidak kira apa yang berlaku, keluarga penting, saya berjanji akan jaga diri dengan baik,” katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, anaknya turut mengambil surat aku janji itu dengan beberapa helai pakaian, kad pengenalan dan wang tunai kira-kira RM100.

Menurutnya, selepas menandatangani aku janji, dia melihat sendiri lelaki berkenaan membawa beg dan mendakwa mahu pulang ke Myanmar.

“Tapi saya dimaklumkan seorang ahli keluarnya yang bekerja di sini, lelaki itu tidak pulang ke Myanmar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Cawangan Kuantan, Andy Chew berkata, pihaknya meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai Wan Lin supaya menghubungi keluarganya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment