Sunday, 26 October 2014

Kanak-kanak maut tercampak dari MPV

MPV dinaiki lima beranak bersama seorang pembantu rumah dirempuh belakang sebuah treler membawa muatan penuh gula di lorong laju.
MPV dinaiki lima beranak bersama seorang pembantu rumah dirempuh belakang sebuah treler membawa muatan penuh gula di lorong laju.

MARAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut tercampak selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu bapanya dirempuh dari belakang oleh sebuah treler di Kilometer 143.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang berdekatan susur keluar tol Chenor itu, mangsa, Nur Qistina Aleya Ahmad Zamani parah di kepala dan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, MPV jenis Honda Elysion itu dipandu seorang jurutera swasta, Ahmad Zamani Yusop, 39, bersama isteri yang juga pengusaha stesen minyak, Nurhanum Mohd Hamdan, 39, bersama tiga anak serta seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, MPV yang dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Temerloh berada di lorong laju sebelum dilanggar sebuah treler dari belakang.

“Rempuhan kuat mengakibatkan Nur Qistina Aleya di tempat duduk belakang tercampak ke laluan bertentangan.

“Pembantu rumah yang parah di kepala dan mengalami pendarahan otak dihantar ke HoSHAS sementara anak berusia sembilan tahun patah tangan kanan.

“Pasangan suami isteri dan seorang lagi anak lingkungan 20an serta pemandu treler berusia 37 tahun hanya cedera ringan,” katanya.

Sulaiman berkata, polis sudah merekodkan keterangan kedua-dua pemandu kenderaan terbabit dan siasatan awal mendapati MPV berkenaan dirempuh belakang.

Menurutnya, ketika kejadian, cuaca baik dan laluan itu jalan lurus.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment