Sunday, 26 October 2014

Anak Jantan, pamer kehebatan pelakon tempatan!


PADA tahun lalu, pengarah ini pernah tampil mempertaruhkan filem seram pertamanya, Bisikan Syaitan, yang dibarisi pelakon hebat termasuk Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Wan Sharmila.

Tidak menunggu lama dalam mencurahkan idea di layar perak, Faizul A Rashid, tampil memberikan kejutan dalam filem bergenre aksi, Anak Jantan, yang bakal menemui penonton pada 30 Oktober ini.

Mengisahkan mengenai Darin yang ingin memulakan hidup baharu bersama kekasihnya Nara di ibu kota, jauh dari tragedi masa silam yang menimpa mereka.

Namun malangnya, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila musuh lama Darin, Somchai muncul dan Darin terpaksa berdepan dengan sejarah hitamnya itu.

Membariskan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Bront Palarae, Qi Razali dan Nora Danish, pastinya filem ini memberi pengalaman berbeza buat pengarah ini dan juga penonton.

Akui Faizul, idea menghasilkan filem ini sudah lama tercetus bersama penerbit, Latiff Mohaideen dan Penerbit Eksekutif, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

"Idea ini bermula apabila menceritakan detik debaran ketika anak saya, Arissa Aqila, 2, hilang selama lima minit di pasaraya.

"Keadaan panik dan cemas mencetuskan pelbagai persoalan dan senario yang bakal dihadapi malah saya dapat merasai perasaan seorang bapa yang terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula anaknya," katanya.

Tambah Faizul, dia amat tertarik dengan seni mempertahankan diri yang diolah dalam filem ini serta kehebatan pelakonnya. Tambahan pula, Farid juga adalah kenalan lamanya sejak di UiTM satu ketika dahulu.

"Kita sememangnya ingin mengilap bakat hero-hero tempatan dan kami berharap dengan menjayakan filem ini kita dapat mengembangkan bakat pelakon di Malaysia.

"Saya mengikuti perkembangan karier Farid Kamil dan saya akui, dia sememangnya seorang pelakon berbakat besar walaupun saya bukanlah peminat tegarnya.

"Pemilihan Pablo Amirul pula, dia sangat bertuah kerana dipilih dari 1,000 orang yang hadir ketika uji bakat," jelasnya yang sebelum ini telah menghasilkan banyak drama dan iklan TV.

Cedera di lokasi penggambaran

Mengakui turut menggemari filem-filem aksi, Faizul memberitahu, dia berasa sangat bertuah kerana dapat menjayakan dan menjadi sebahagian daripada filem, Anak Jantan.

Katanya, ianya seperti batu loncatan kepadanya dan juga peluang yang sukar diperolehi memandangkan persaingan industri perfileman sangat sengit.

"Saya berharap dapat melakukan sesuatu seperti Blood Diamond yang mana filem itu adalah salah satu filem kegemaran saya.

"Malah, antara babak yang paling digemari adalah melibatkan tembakan dan juga penggunaan bom serta letupan!

"Pengalaman ini adalah sukar diperoleh di Malaysia kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam kesan khas seperti di Thailand," katanya lagi.

Jelas Faizul, walaupun penggambaran filem ini berjalan dengan lancar, namun ada babak yang paling sukar untuk dilakukan antaranya babak di lokasi sebuah kilang.

"Ketika itu, Farid Kamil mengalami kecederaan ketika melakukan babak berlawan dengan Pablo. Kami tiada pilihan lain selain meneruskan penggambaran dan cuba menyelesaikan dengan cara yang lebih kreatif.

"Filem ini kami bukan sahaja melakukan penggambaran dari babak ke babak malahan ada babak yang kami lakukan menggunakan adegan sebenar," katanya yang memaklumkan penggambaran kebanyakan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Langkawi dan Thailand.

Tonton filem antarabangsa

Berada di kerusi pengarah, selain memastikan kelancaran jalan cerita, Faizul juga banyak meluangkan masa dengan menonton drama dan filem aksi antarabangsa.

Jelasnya, dari situ, dia belajar bagaimana caranya untuk menghasilkan karya yang terbaik dan mampu memikat selera penonton.

"Menerusi filem yang ditonton seperti siri Bourne, Old Boy dan Ong Bak, saya banyak belajar teknik seni mempertahankan diri.

"Untuk mendapatkan satu papan cerita yang lengkap, saya menggabungkan kesemua idea menjadi lakaran cerita dan draf-draf babak untuk di jadikan skrip.

"Saya bersama ahli produksi berbincang mengenai lakon layarnya. Saya sukakan sesuatu yang jelas dan nyata kerana ia penting untuk penceritaan dalam setiap babak," katanya lagi.

Berbicara mengenai intipati filem ini, Faizul menjelaskan elemen cinta, pengorbanan, kesetiaan dan cemburu diadun bersama dalam menghasilkan Anak Jantan.

"Ia mengisahkan tentang kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Darin diculik dan dijadikan anak angkat sejak kecil oleh pihak militan pemberontak dan dia dibesarkan sebagai pemberontak.

"Dia tidak tahu apa yang dia lakukan selama ini salah sehinggalah mengenali Nara yang memainkan peranan penting untuk mengubah kehidupan Darin.

"Ini merupakan nilai-nilai positif yang harus kita miliki dan jika kita sanggup mengambil risiko untuk mengenali dan bergaul mungkin kita akan menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya," jelas Faizul.

'Import' pakar aksi Thailand

Selaku penerbit, Latiff Mohaideen, mengakui kisah ini membuatkan kita berfikir sejenak mengenai hubungan kita dengan anak-anak.

Katanya, ia mempamerkan pentingnya menjaga anak-anak kita yang bukan sahaja memerlukan tempat berteduh, kasih sayang, perlindungan dan bimbingan agar mereka berkembang dan matang di dunia ini.

Jelas Latiff, jika tidak dididik dengan baik, mereka akan mudah terpengaruh ke arah lebih negatif dan nilai cerita ini mampu memberikan kita peluang untuk memberi bimbingan yang terbaik untuk anak-anak.

"Walaupun Anak Jantan merupakan filem fiksyen semata-mata, watak-watak di dalam filem ini berdasarkan orang sebenar yang saya temui sepanjang hidup saya yang penuh dengan pengalaman hidup yang mendewasakan mereka.

"Watak yang saya minati sudah tentu Somchai. Malah keseluruhan filem digarap melalui watak Somchai dan personalitinya.

"Selain memaparkan aksi-aksi hebat pelakon-pelakon tempatan, kami membawa pakar aksi dari Thailand yang berpengalaman untuk aksi pergaduhan," katanya.

- Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment