Sunday, 9 March 2014

Skuad takraw gagal rebut juara

Skuad takraw gagal rebut juara
Skuad sepak takraw negara bagi kategori lelaki dan wanita menunjukkan pingat selepas sekadar meraih naib juara dalam Kejohanan Akhir Sepak Takraw Super Siri ISTAF 2013/14 di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur hari ini.- Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Skuad sepak takraw negara terpaksa akur dengan kehebatan pemain Thailand apabila pasukan lelaki dan wanita negara gagal menandingi skuad Gajah putih itu pada aksi final kejohanan sepak takraw Siri
Super Akhir Istaf 2013/14 di Stadium Tertutup Titiwangsa hari ini.

Pasukan lelaki negara yang dibarisi oleh Syahir Rosdi, Muqlis Borhan (Kapten), Hanafiah Dolah, Izurin Refin dan Khairol Zaman Hamir Akhbar gagal menjinakkan pasukan Thailand setelah tewas 0-3 dengan kutipan mata 12-15, 10-15 dan 8-15 walaupun terpaksa bermain dalam pertarungan panjang selama 61 minit. 

Pemain Thailand dibarisi oleh Kritsana Tanakorn, Somporn Jaisinghol (Kapten), Suphachai Maneet, Treepong Rawangpai, Sitipong Khamchan. 

Jurulatih sepak takraw negara Jamaluddin Hassan berkata beliau tidak menyalahkan pemain kerana kebanyakan dari mereka masih baharu dan kurang berpengalaman berbanding pemain Thailand.

"Walaupun kita tewas dengan Thailand saya masih boleh senyum kerana berpuas hati dengan kesungguhan pemain muda kita yang dilihat lebih maju daripada sebelum ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata apa yang lebih penting adalah skuad lelaki negara telah berjaya mencapai sasaran ke final seperti yang ditetapkan oleh Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM) sebelum ini. 

"Kini tiba masanya untuk kita kembali beri tumpuan kepada latihan skuad negara yang akan bermula dua hari lagi bagi memperbaiki beberapa kelemahan.

"Antara tumpuan latihan selepas ini adalah untuk memantapkan lagi persembahan tekong negara sebelum bersedia untuk menghadapi beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung sepanjang bulan Mei nanti," katanya. 

Jamaluddin berkata kejohanan tersebut merupakan satu pendedahan penting skuad negara sebelum mencapai tahap matang. 

Terdahulu, pasukan wanita negara yang dibarisi oleh Noor Fairuz Azizan, Nor Farhan Ismail (Kapten), Rahilah Harun, Nurul Izzatul Hikmah Zulkifi dan Emilia Eva Natasha Saudia turut dikecewakan Thailand 0-3 dengan mata 4-15, 8-15 dan 13-15 pada aksi final itu. 

Pasukan wanita Thailand dibarisi Sudaporn Palang, Thidarat Soda (Kapten), Somruedee Pruepuk, Fueangfa dan Wanwisa Jankaen. - Bernama

No comments:

Post a Comment