Sunday, 9 March 2014

Berpantang maut sebelum ajal

Berpantang maut sebelum ajal
Ameran mengeluarkan pakaian dan perkakas lain dari dalam keretanya yang terjunam ke dalam parit di Gong Rengas, dekat Gong Nering.


JERTIH - Seorang lelaki terselamat serta sempat keluar apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Gong Rengas, dekat Gong Nering, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Ameran Abd Ghani, 35, yang memandu kereta jenis Mitsubishi Tradial dari arah Jertih menghala ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan untuk ke Pekan, Pahang bagi tujuan mengambil isteri dan dua anaknya yang berada di kampung halaman isterinya.

“Sebelum kejadian saya cuba potong sebuah Proton Persona di depan kereta saya, tapi pada masa sama kereta itu mahu masuk simpang di kanan jalan,” katanya.

Katanya, akibat silau cahaya matahari menyebabkan dia tidak nampak dengan jelas sama ada kereta di hadapannya itu memberi isyarat untuk membelok atau tidak.

“Saya dapati kereta itu juga terlepas dari simpang dipercayai sebab silau cahaya matahari menyebabkan saya memotong keretanya.

“Akibat cuba mengelak daripada melanggar kereta di hadapan, kereta saya hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

“Mujurlah air di dalam parit tak dalam dan kereta saya tak rempuh objek lain menyebabkan saya dapat keluar dari kereta dengan mudah,” katanya yang bersyukur kerana terselamat.

Ameran berkata, akibat kejadian itu keretanya mengalami kerosakan dan dia terpaksa menaiki bas untuk mengambil anak dan isterinya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment