KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat menghantar dua kapal tentera lautnya untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal Sabtu.
Kedutaan Amerika dalam satu kenyataan hari ini berkata susulan permintaan daripada kerajaan Malaysia, tentera laut Amerika menghantar USS Pinckney (DDG 91) dan USNS John Ericsson untuk membantu operasi SAR.
"Kami telah menghantar DDG 91, kapal pemusnah berpeluru berpandu kelas Arleigh Burkecke ke lokasi dan tiba tengah hari ini.
"DDG 91 membawa dua buah helikopter MH-60R yang boleh digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat," menurut kenyataan itu.
Ia berkata USNS John Ericsson, kapal pembekalan minyak yang dikendalikan Markas Kelautan Tentera, telah belayar dari Singapura pagi tadi untuk membantu operasi SAR.
Sebagai tambahan, pesawat P-3C Orion tentera laut Amerika yang dilengkapi kemudahan peralatan mencari jarak jauh, radar dan komunikasi telah berlepas dari Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun pagi tadi dan telah memulakan pencarian, kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, satu pasukan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat kini dalam perjalanan ke rantau itu untuk menawarkan bantuan.
"Kerajaan Amerika akan terus memantau dengan rapi perkembangan dan sedang membantu Kerajaan Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Kami merakamkan simpati dan berdoa bagi keselamatan orang tersayang yang berada dalam pesawat MAS berkenaan," kata kenyataan itu.
Gerakan mencari dan menyelamat digerakkan semalam setelah penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
No comments:
Post a Comment