Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini diumum sebagai calon pakatan rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika mengumumkan perkara di sini hari ini, Anwar, yang juga Penasihat PKR, menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai calon paling sesuai untuk menggantikannya dan keputusan itu telah dipersetujui oleh kepimpinan pakatan tersebut.
Anwar sebelum ini disebut-sebut akan bertanding bagi kerusi tersebut dan sudah pun memulakan kempennya. Hari penamaan calon ditetapkan 11 Mac dan pengundian 23 Mac.
Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar setelah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2012 yang mendapati Anwar tidak bersalah dalam tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
Susulan keputusan mahkamah itu, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang juga peguam bela Anwar berkata ketua pembangkang itu tidak boleh memfailkan kertas pencalonan untuk PRK Kajang.
Ditanya kenapa Dr Wan Azizah menjadi pilihan berbanding nama-nama lain termasuk setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Anwar sekali menegaskan bahawa pilihan itu telah dipersetujui semua pihak termasuk Saifuddin sendiri.
"Saya berminat untuk memilih Saifuddin tetapi beliau enggan dan mahu menjadi setiausaha agung. Berikutan keadaan semasa, Azizah adalah calon yang sesuai," kata Anwar.
Sementara itu Dr Wan Azizah ketika ditanya sama ada beliau hanya dipilih sebagai 'pemanas kerusi' kepada Anwar, beliau berkata itu terserah kepada mana-mana pihak untuk menilai.
"Mereka boleh kata apa saja yang mereka suka tetapi yang penting adalah kami meneruskan perjuangan," katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment