Sunday, 9 March 2014

Mati tertimbus dalam lubang


Anggota bomba mengeluarkan mayat pekerja warga Bangladesh yang tertimbus, petang semalam.


DURIAN TUNGGAL - Seorang pekerja warga Bangladesh maut tertimbus apabila lubang kumbahan yang sedang digali runtuh, berhampiran Terminal Kenderaan Berat Gangsa di sini, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Alamgir Kemal, 25, dikatakan terjatuh ke dalam lubang berkenaan kira-kira 3.50 petang selepas tebing konkrit yang dipijaknya runtuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dari balai bomba Ayer Keroh diketuai PBK II Mohd Asraf Abdullah bekejar ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan orang awam mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus di dalam lubang sedalam kira-kira 3.5 meter itu.

“Mangsa yang maut di tempat kejadian itu kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Mohamad Laham ketika mengesahkan kejadian berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan parah pada bahagian kepala.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment