KUALA LUMPUR: Di kala rakyat Malaysia kecoh di laman media sosial, masing-masing dengan pendapat tersendiri tentang keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan lima tahun penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang menteri Kabinet bersimpati dengan isteri Ketua Pembangkang itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau berharap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal tabah semasa menghadapi waktu-waktu sukar seperti ini.
“Tiada isteri suka melihat suaminya atau ayah kepada anak-anaknya didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah.
“Tetapi, susah macam manapun, oleh kerana hakim-hakim telah membuat keputusan, ia patut dihormati,” katanya melalui Twitter.
Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Mahkamah membenarkan Anwar menangguhkan bayaran ikat jamin sebanyak RM10,000 sehingga jam 11 pagi, Isnin depan.
Dengan keputusan ini, mengikut Perkara 64(4) undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor, Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dijadualkan berlangsung 23 Mac nanti.
Perkara 64(4) undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor memperuntukkan syarat hilang kelayakan untuk bertanding kerusi DUN Selangor berkuat kuasa serta merta dari tarikh seseorang itu hilang kelayakan sebagai ahli DUN -- dalam hal ini, disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun.
Perkembangan kes ini berlaku empat hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN kajang dan Anwar juga dijadualkan menghadiri perasmian sidang Dewan Rakyat pada 10 Mac nanti.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu dibacakan Hakim Datuk Balia Yusof yang menegaskan keputusan itu adalah keputusan sebulat suara panel hakim.
Turut bersidang bersama ialah hakim Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi.
Rayuan kes ini mencetuskan kontroversi sebelum ini berhubung isu pelantikan peguam Tan Sri Shafee Abdullah sebagai ketua pendakwa. Anwar mengemukakan usul untuk mengetepikan pelantikan itu namun ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Anwar didakwa meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment