Monday, 10 March 2014

Petugas media masih kabur

Petugas media masih kabur
Muka depan akhbar Youth Union di Vietnam hari ini menyiarkan spekulasi bahawa kehilangan pesawat milik MAS mempunyai kaitan dengan serangan pengganas.- Foto Sinar Harian


CA MAU, VIETNAM - Selepas tiga hari berita kehilangan pesawat dalam penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dilaporkan, banyak perkara yang masih kabur.

Akhbar di Vietnam mula membuat spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu mempunyai kaitan dengan pengganas, berpaksikan kepada laporan mengenai dua pasport palsu yang digunakan oleh dua penumpang penerbangan itu.

Sebuah akhbar Vietnam hari ini menyiarkan gambar dari udara satu objek menyerupai tingkap kapal terbang di tengah laut, namun berkata disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik, serpihan itu tidak dapat dinaikkan.

Kerajaan Vietnam pula masih membisu tanpa sebarang kenyataan rasmi, dan hanya berkata mereka akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

Petugas media sama ada dari Vietnam atau negara luar juga belum menerima maklumat tepat mengenai lokasi pusat operasi mencari dan menyelamat di Vietnam.

Maklumat diberikan media Vietnam dan kenyataan rasmi daripada pegawai kerajaan di sini bercanggah dan berubah-ubah setiap masa, menggambarkan tiada kata putus dibuat atau pun maklumat tidak didedahkan secara penuh.

Maklumat terakhir yang kami perolehi adalah pusat operasi mencari dan menyelamat akan ditubuhkan di Pulau Phu Quoc, kira-kira 400 kilometer dari Ho Chi Minh.

Tiada apa yang pasti atau muktamad setakat ini, dan kekecohan ini telah dijangka memandangkan insiden seperti ini amat jarang berlaku di perairan rantau ini.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment