Monday, 10 March 2014

MH370: Baik hantar kapal korek!

Oleh: Norizan Sharif @Astro Awani

Apa yang pasti ialah MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing putus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang (ATC Subang) pada jam 2.40 pagi. Ini disahkan oleh Malaysia Airlines.

Apa yang tidak pasti ialah apakah yang berlaku selepas itu.

Laporan pelbagai agensi berita antarabangsa juga adalah merupakan spekulasi dan bukannya sesuatu yang konklusif. Seorang yang celik media, akan berhati-hati membaca laporan media.

Media Vietnam, Tuoi Tre News yang menyiarkan gambar tumpahan minyak di Laut China Selatan menyebut, "Photos of oil slick in ALLEGED Malaysia Airlines plane crash."

Mengenai penumpang yang menggunakan pasport curi milik rakyat Austria dan Itali, International Business Times menyebut, "We BELIEVE that the name and passport were used by unidentified person to board the plane," a spokesman for the Austria foreign embassy told ABC News.

Sementara itu, Reuters pula melaporkan, "Malaysian plane PRESUMED crashed; questions over false ID."

Perkataan "alleged", "believe", dan "presumed" yang digunakan dalam ayat-ayat di atas menunjukkan laporan itu bukanlah sesuatu yang konklusif.

Hanya orang yang buta literasi media akan menganggap laporan itu sebagai sesuatu yang muktamad.

Ada orang tuduh kerajaan sembunyikan fakta bahawa kapalterbang MH370 telah terhempas atau kemalangan. Orang ini sebenarnya hidup di zaman batu. Dalam zaman yang serba terbuka ini, perkara sedemikian tidak boleh ditutup dengan mudah. Kejadian ini bukan berlaku di dalam gua!

Sekiranya kerajaan membuat kenyataan MH370 terhempas, persoalan selanjutnya ialah "Di mana?" dan "Mana bukti MH370 terhempas?" Takkanlah kerajaan nak jawab "Di Laut China Selatan, dekat Vietnam." Itu jawapan kedai kopi!

Tragedi ini sedang diikuti secara dekat oleh industri penerbangan termasuklah Boeing, agensi keselamatan penerbangan antarabangsa, kerajaan negara-negara yang rakyatnya terbabit dalam insiden ini, media antarabangsa, industri insuran dan pelbagai pihak yang berkepentingan dan mempunyai kaitan.

Kenyataan rasmi kerajaan tidak boleh dibuat seperti kenyataan Pak Malau di kedai kopi. Selagi kerajaan tidak dapat membuat rumusan yang konlusif mengenai apa yang berlaku, maka ia tidak akan membuat kenyataan sedemikian.

Sesetengahnya pula mempersoalkan "masa" yang diambil bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku. Sekiranya kita rajin mencari maklumat di internet, kita akan tahu bahawa ini bukanlah satu proses yang mudah. Apabila Air France 447 jatuh ke dalam Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009, pihak penyelamat mengambil masa hampir dua tahun untuk menemui majoriti bangkai kapalterbang dan mayat penumpang di laut dalam.

Ada pula yang memperlekehkan negara kerana tidak menghantar kapal selam untuk mencari pesawat tersebut di laut. Ini adalah contoh orang yang tak faham mengenai fungsi pelbagai jenis kapal selam tetapi masih mahu mengkritik sesuatu yang dia sendiri tak arif.

Ambil contoh kapalterbang. Adakah kita akan menghantar kapalterbang Airbus A380 yang terbaru dan paling canggih ke medan tempur? Walaupun mahal dan canggih, Airbus A380 bukan dibina untuk tujuan tersebut!

Inilah jadinya apabila orang berlumba-lumba menunjukkan kebodohan di media sosial. Bak kata Albert Einstein: "Perbezaan di antara kecerdikan dan kebodohan ialah kecerdikan ada had, tetapi kebodohan tiada sempadan."

Nah, respon saya kepada sindiran itu adalah cukup mudah. Buat apa hantar kapal selam, lebih baik hantar kapal korek; sekurang-kurangnya kapal korek boleh korek pesawat di dasar laut!

__________________

* Tulisan ini tersiar pertama kali di www.nobisha.blogspot.com
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.

No comments:

Post a Comment