Monday, 10 March 2014

DCA tidak tolak kemungkinan MH370 dirampas atau meletup di udara

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menolak sebarang kemungkinan yang berlaku ke atas pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang hilang awal pagi Sabtu, termasuk kemungkinan ianya dirampas.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya juga memerlukan bukti yang kukuh untuk menyokong segala kemungkinan-kemungkinan tersebut.

"Pada tahap ini kami tidak menumpukan pada mana-mana kemungkinan... kita melihat pada semua sudut tentang apa yang mungkin berlaku pada pesawat tersebut," katanya pada satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Isnin.

Kata beliau, selain kemungkinan pesawat berpatah balik, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara.

Namun katanya untuk memastikan apa yang betul-betul berlaku pada pesawat Boeing 777-200 itu, pihaknya memerlukan sekurang-kurang serpihan daripada pesawat untuk kajian forensik.

"Malangnya sekali lagi kita tidak dapat menemui mana-mana bahagian pesawat ataupun untuk mengesan di mana ia berada," jelas Azharuddin.

Katanya, pihak DCA juga telah menggiatkan pencarian di Selat Melaka untuk mengesan kemungkinan pesawat berpatah balik.

Kata beliau, meskipun ia merupakan satu teori tetapi mereka tidak boleh menolak kemungkinan tersebut.

Penerbangan MH370 itu disahkan DCA sebagai hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebelum itu, MAS dilapor berkata pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.

Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu telah masuk hari ketiga, namun ia masih gagal dikesan.


Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment