Tuesday, 11 March 2014

MH370: Polis siasat 4 faktor utama termasuk kemungkinan rampasan pesawat


KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang memberi tumpuan kepada empat faktor utama di dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sudah memasuki hari keempat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata empat faktor tersebut adalah kemungkinan rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka.

Apabila ditanya mengapa faktor seperti masalah mekanikal pesawat dan kesilapan juruterbang tidak disiasat, Khalid berkata polis hanya akan terlibat dengan empat fokus utama di dalam penyiasatan yang diketuai oleh Pengarah Siasatan Jenayah (CID), Datuk Hadi Ho Abdullah.

“Pihak pakar pesawat seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airports Berhad (MAB) akan menyiasat faktor lain seperti masalah mekanikal pesawat dan kesilapan juruterbang,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata beliau telah mendapatkan gambar dan profil 153 warganegara China yang menaiki pesawat MH370 daripada pihak keselamatan awam negara itu.

“Kami juga telah mendapatkan rakaman video bertarikh 7 dan 8 Mac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selain itu, kami sedang berhubung dan memeriksa dengan pegawai daripada jabatan lain untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang kesemua penumpang,” katanya.

Khalid turut berkata pihaknya telah berkomunikasi dengan 14 negara lain dari mana kebanyakan penumpang berasal dan telah bertukar informasi dengan pihak risikan.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara bersama 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment