KUALA LUMPUR: Polis Thailand tidak yakin dua lelaki yang menaiki pesawat Malaysia Airlines yang hilang dengan menggunakan pasport yang dicuri adalah pengganas, sebaliknya percaya mereka mungkin pelarian yang mencari suaka.
"Kami belum mengetepikan (kemungkinan mereka pengganas) tetapi bukti-bukti yang kami dapat bertentangan dengan pandangan bahawa mereka ini terlibat atau pernah terlibat dengan keganasan," kata Ketua Polis Pattaya, Supachai Puikaewcome kepada Reuters di Bangkok.
Bukti-bukti itu termasuk penglibatan dua lelaki Iran yang membuat tempahan dengan sebuah agensi pelancongan dan memungut tiket tersebut bagi pihak dua penumpang misteri itu.
Akhbar Financial Times pada Selasa mendedahkan dua lelaki itu membeli tiket penerbangan mereka melalui orang tengah yang dikenali dengan nama Ali.
Mereka membeli tiket dengan harga yang paling murah untuk penerbangan ke Beijing dan seterusnya ke Eropah.
"Berdasarkan kepada tempahan tiket saja, sekiranya keganasan, mereka tentunya mengkhususkan laluan dan pesawat yang hendak dinaiki.
"Sebaliknya, mereka meminta tiket dengan harga tambang murah serta tidak menyatakan dengan khusus laluan atau syarikat penerbangan," tambah Supachai.
Polis Thailand turut mencari seorang warga Iran yang mengambil tiket mereka daripada agensi pelancongan itu dan membayarnya dengan tunai. Lelaki itu dikenali dengan nama Hasem dan diketahui berada di Pattaya.
Ia percaya dua lelaki Iran itu mungkin terlibat dengan perdagangan penyeludupan manusia kerana Ali dikatakan sudah berlanggan tiket penerbangan dengan agensi pelancongan itu sejak tiga tahun lalu.
Ia juga percaya Ali menempah tiket-tiket penerbangan sepanjang tiga tahun itu untuk warganegara Iran.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada Isnin menegaskan bahawa pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mematuhi semua protokol keselamatan yang ditetapkan oleh standard antarabangsa.
Oleh itu, siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport.
Beliau juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment