Tuesday, 11 March 2014

Hari 4: Mencari MH370, mengesan "Encik Ali"


KUALA LUMPUR: Usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak lebih 80 jam lalu diteruskan hari ini dengan operasi digerakkan di kawasan yang lebih luas meliputi 100 batu nautika daripada titik terakhir pesawat itu dikesan pada awal pagi Sabtu lalu.

Kawasan itu meliputi perairan di sebelah barat dan timur Semenanjung Malaysia mencecah sampai ke Vietnam dan utara Sumatera. Operasi disertai oleh 22 buah pesawat udara dan 44 buah kapal dari lapan buah negara.

Bagi memudahkan operasi, kawasan berkenaan dibahagikan kepada beberapa petak dan setiap kapal laut serta pesawat yang menyertai usaha tersebut masing-masing ditugaskan meneroka setiap petak itu.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin malam menegaskan usaha itu akan dipergiatkan kerana adalah mustahak untuk mengesan pesawat berkenaan untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Usaha ini masih lagi sebuah operasi mencari dan menyelamat dan bukannya operasi pemulihan bencana," katanya.

Pada sidang media sebelumnya pada tengahari Isnin, Azharuddin menyifatkan kehilangan pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu sebagai "misteri kehilangan pesawat yang belum pernah berlaku sebelum ini."


Pasport curi

Ketika operasi mengesan pesawat itu dipergiatkan, pihak berkuasa juga sedang mengesan seorang warganegara Iran yang didedahkan oleh seorang agen pelancongan di Thailand sebagai individu yang membeli tiket bagi pihak dua penumpang yang menaiki pesawat itu dengan pasport curi.

Agen pelancongan itu, Benjaporn Krutnait memberitahu akhbar The Financial Times pada Isnin, lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu hanya dikenali dengan nama "Encik Ali".

Krutnait pada awalnya menempah untuk lelaki Iran itu dua tiket ke Eropah pada 1 Mac lalu melalui penerbangan Qatar Airways dan Etihad. Tiket itu kemudiannya terbatal kerana tidak dituntut oleh Ali.

Pada Khamis 6 Mac, Ali menghubungi Krutnait dan agen pelancongan itu menempah penerbangan Malaysia Airlines kerana itu tiket paling murah yang ada. Beliau menempah tiket itu melalui China Southern Airlines yang berkongsi kod penerbangan dengan MH370.

"Tidak ada bukti Encik Ali kenal dua lelaki yang menaiki pesawat (MH370) dengan pasport curi," lapor The Financial Times.


Tiket

Krutnait mendedahkan perkara itu kerana tidak yakin Ali ada kaitan dengan keganasan kerana tidak menempah secara khusus penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sebaliknya meminta tiket termurah ke Eropah.

Kedua-dua penumpang misteri itu ditempah untuk penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing sebelum meneruskan penerbangan ke Amsterdam sebelum masing-masing ke Frankfurt dan Copenhagen.

Azharuddin dalam sidang media pada Isnin malam turut menegaskan siasatan ke atas rakaman visual
pergerakan dua penumpang misteri itu menunjukkan semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi.

Oleh itu, siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport.

Beliau juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment