Tuesday, 11 February 2014

'Seumur hidup tak pernah kerja'

'Seumur hidup tak pernah kerja'
Zalida menunjukkan kotak pembungkusan baharu kuih benderam yang diperoleh daripada YPU Terengganu bermula November tahun lalu.


SETIU - “Saya bagaikan hilang tempat bergantung setelah tangan kanan suami dipotong akibat kemalangan pada 2008 lalu.

Demi anak-anak dan keluarga saya beranikan diri mencari rezeki dengan mengusahakan kuih benderam,” kata Zalida Othman, 42.

Menurut ibu enam anak ini, kejadian tragis menimpa suaminya, Zahari Awang Teh, 50, adalah titik perubahan kehidupannya kerana kini dia tidak lagi menjadi suri rumah sepenuh masa tetapi telah bergelar seorang usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Selepas suami ditimpa kemalangan apabila lori dipandu terbalik, saya hanya memikirkan bagaimana mencari pendapatan walaupun seumur hidup tidak pernah bekerja. Tanpa berfikir panjang saya mempelajari resipi membuat kuih benderam daripada ibu mertua,” katanya.


Tak mahu toleh ke belakang

Kata Zalida, dia memberanikan diri mengusahakan kuih tradisional itu secara kecil-kecilan dengan dibantu pihak Risda khususnya dari segi peralatan serta khidmat nasihat.

“Saya juga turut menerima wang tunai RM500 daripada JKKK Chalok Kedai sebagai suntikan modal.

“Kemalangan menimpa suami benar-benar uji ketabahan dan saya kini tidak lagi menoleh ke belakang. Selain sering mendapat tempahan untuk program atau majlis, saya masih lagi menghantar sendiri kuih benderam dihasilkan ini ke merata-rata tempat.

“Buat masa ini, kuih ini telah dipasarkan ke seluruh daerah di negeri ini dan kian mendapat permintaan dengan adanya kotak pembungkusan baru. Sebelum ini saya sekadar memasarkan kuih benderam dengan cara letak dalam plastik sahaja,” katanya.

Zalida berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kotak Pembungkusan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang disempurnakan pengerusinya, Datuk Sabri
Mohd Noor di Chalok Kedai, di sini, semalam.


Pendapatan meningkat

Zalida berkata, sejak menggunakan pembungkusan baharu itu pendapatan kasar diperolehnya meningkat kepada RM7,000 hingga RM8,000 sebulan berbanding cara pembungkusan lama iaitu sekitarRM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Hampir setiap hari saya akan hasilkan lebih kurang 280 bungkus kuih benderam yang dijual dengan harga RM2.50 sebungkus. Syukurlah, percubaan saya untuk menambah pendapatan keluarga mampu sampai ke tahap ini,” katanya.


Terpilih dalam program SDSI

Sementara itu, Sabri yang juga Adun Langkap berkata, Zalida merupakan salah seorang usahawan kecil yang terpilih dalam program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kerana mencapai kriteria ditetapkan sekali gus dibawa YPU menyertai pelbagai ekspo berkaitan makanan.

“Penggunaan kotak pembungkusan baru ini dilihat dapat menarik perhatian pembeli untuk mencuba serta menikmati kuih tradisional ini dan secara tidak langsung ia pasti dapat meningkatkan pendapatan pengusaha.

“Selain itu, sebagai perancangan bagi Dun Langkap, YPU akan menubuhkan satu pusat yang berfungsi sebagai lokasi pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pelabelan di Sungai Bari bagi membantu usahawan kecil di Setiu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Setiu mempunyai kira-kira 40 usahawan IKS yang mengeluarkan pelbagai jenis produk dan lebih kurang separuh daripada jumlah itu berada dalam Dun Langkap.

“Pusat pengumpulan ini yang ketiga selepas Besut dan Ajil di Hulu Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment