Tuesday, 11 February 2014

Lima pelajar kolej didakwa bunuh pensyarah, bapa

Fadhil Rushdan (seluar coklat) dikawal ketat pegawai polis ketika prosiding ditangguhkan.


SHAH ALAM - Seorang pelajar kolej mengaku di Mahkamah Tinggi hari ini, mengikat kaki bapa pensyarah bahasa Inggerisnya, Omar Peter Abdullah, 56, sebelum mulut dan hidung ditekup dengan menggunakan kemeja T oleh tertuduh lain.

Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang menjadi saksi pendakwaan memberitahu dia menggunakan tali dan memakai sarung tangan ketika melakukan perbuatan itu selepas diarahkan oleh tertuduh iaitu rakan baiknya, Mohamad Sharafe Mat Noh, 21, pada malam 9 Mac, dua tahun lalu.

Fadhil Rushdan memberitahu mahkamah dia melihat keadaan Omar Peter seperti meminta pertolongan sebelum badan pesara itu sejuk.


"Mat Rof (Mohamad Sharafe) yang memeriksa keadaan badan Omar Peter dan mendapati ia sejuk serta tidak bernafas," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin.

Pelajar jurusan Perbankan Islamic Kolej Antarabangsa Cybernatic Taman Maluri itu juga memberitahu, tertuduh Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau dikenali sebagai Boy mengikat tangan lelaki itu dengan menggunakan tali.

"Tali dan sarung tangan itu diberikan oleh salah seorang tertuduh, tapi saya tidak mengingati siapa yang memberikannya," katanya.

Sebelum itu, dia dan empat tertuduh yang lain dijemput oleh pensyarahnya, Zara Eleena, 23 untuk menuju ke rumah wanita itu yang terletak di Kinrara, Puchong, Selangor.

Aidatul Azura : Apa tujuan kamu ke sana?
Fadhil Rushdan : Saya dan yang lain diajak oleh Mat Rof untuk mengubati Miss Zara ( Zara Eleena)
Aidatul Azura. : Ada kamu dimaklumkan Miss Zara sakit apa?
Fadhil Rushdan. : Tidak.
Aidatul Azura : Setelah sampai, apa yang berlaku.
Fadhil Rushdan : Kami iaitu saya, Mat Rof, Boy, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20,
atau Shah serta Miss Zara memasuki rumah itu dan nampak
bapanya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Aidatul Azura : Selepas itu apa yang berlaku?
Fadhil Rushdan : Lebih kurang lima minit selepas itu Zara dan Shah keluar untuk
mengambil Muhamad Safwan Muhamad, 20, yang dikenali
sebagai Chap dan ustaz di lapangan terbang.

Fadhil Rushdan memberitahu semasa ketiadaan Zara Eleena, mereka bertiga ke dapur selepas bapa pensyarah itu menyuruh mengambil air minuman di dapur.

Selepas keluar dari dapur, Fadhil Rushdan berkata, Boy ke tandas dan keluar dengan memakai sarung tangan serta menekup mulut Omar Peter sebelum lelaki itu ditarik ke dalam bilik hadapan.

"Mat Rof mengacukan pisau dan menekup mulut serta hidung Omar Peter dengan menggunakan kemeja T yang berada di dalam bilik berkenaan sementara saya dan Boy diarahkan untuk mengikat kaki serta tangan dengan menggunakan tali," katanya.

Dia memaklumkan lebih kurang 30 minit selepas itu, Zara Eleena sampai dan mahu berjumpa dengan ayahnya namun dihalang oleh Shah.

Fadhil Rushdan memberitahu, Dia terdengar bunyi tulang patah datang daripada bilik belakang yang mana Shah dan Zara Eleena berada.

"Boy memasuki bilik itu selepas Shah meminta tolong untuk menutup muka Miss Zara yang terbaring dengan menggunakan bantal.

"Ketika terbaring, saya nampak Miss Zara meronta-ronta sebelum tidak bergerak," katanya.

Ketika pemeriksaan balas peguam tertuduh pertama Shah, Afifuddin Ahmad Hafifi, dia berkata mengenali Zara Eleena sebagai pensyarah di kolejnya, Mat Rof sebagai rakan serumahnya manakala tiga lagi tertuduh sebagai kenalan biasa.

Selain itu, ketika sesi pemeriksaan balas itu juga, Fadhil Rushdan menafikan dia yang mencuri kad bank dan mengeluarkan wang milik Zara Eleena.

Afifuddin dalam soalannya berkata, sebenarnya Fadhil Rushdan yang merancang serta melakukan pembunuhan itu namun dinafikan.

"Saya tidak bersetuju," katanya.

Kesemua tertuduh yang juga pelajar kolej tersebut didakwa membunuh Zara Eleena di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh bapanya, pesara syarikat kewangan, Omar di tempat sama, antara jam 11.30 malam 8 Mac dan 1.30 pagi keesokannya.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment