Tuesday, 11 February 2014

Amaran: Hujan dijangka turun di Pantai Barat Semenanjung mulai pertengahan mingguA


KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di negeri di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dijangka akan mula menerima hujan mulai pertengahan minggu ini.

Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Helmi Abdullah berkata meskipun fenomena cuaca panas dan kering sedang melanda negeri-negeri di Malaysia, hujan dijangka akan turun pada waktu petang dan senja dan sekaligus mengurangkan hawa bahang panas.

“Kita jangkakan hujan ini akan turun di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia namun bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, kita jangkakan akan terus mengalami cuaca panas dan kering,” katanya ketika ditemubual dalam AWANI 7.45 pada Isnin.

Tambah Helmi lagi, keadaan cuaca panas dan kering yang melanda pada waktu ini adalah satu fenomena yang biasa dan lazimnya berlaku pada bulan Februari.

“Bulan Februari sememangnya adalah bulan yang kering dan panas dan keadaan ini telah berlaku sejak beberapa minggu yang lepas.

Walau bagaimanapun, sejak pertengahan Januari lalu, sebenarnya keadaan suhunya agak rendah dan cuacanya agak kering namun keadaanya kini telah sedikit demi sedikit bertukar kepada keadaan yang panas pada waktu siang dan ini akan berterusan untuk beberapa hari yang akan datang,” ujarnya.

Selain itu, menurut Helmi, di negeri Sabah dan Sarawak terdapat perubahan dalam corak tiupan angin dimana suhunya kini sudah bertambah lembap.

“Antara faktor yang medorong kepada cuaca panas dan kering ini ialah apa yang dikenali sebagai palong monsun dikawasan di negara ini agak kurang aktif dan cuaca yang lebih lembap tertumpu di kawasan Hemisfera Selatan di Utara Benua Australia,”.

Cuaca lembap dan hujan itu dijangkakan akan berterusan hingga pertengahan minggu ini sebelum kawasan tersebut mengalami pengurangan dalam kadar penurunan hujan.

“Maka, keadaan di negara ini pula akan kadar penurunan hujannya akan mula bertambah. Selain itu juga, angin timuran lembap dari Lautan Pasifik juga akan mempengaruhi keadaan cuaca dari negara kita,”.

Helmi menyarankan dalam cuaca panas sebegini, penggunaan air hendaklah dijimatkan.

“Walaupun kita jangka hujan akan berlaku mulai pertengahan minggu ini, keadaan pada amnya masih agak panas dan kering di kebanyakkan kawasan dan nasihat kita adalah supaya masyarakat menjimatkan penggunaan air,” katanya.

Selain itu, cuaca panas dan kering ini juga menyebabkan banyak kebakaran terbuka mudah berlaku dan penduduk diminta mengelakkan dari melakukan pembakaran terbuka.

“Selain itu, masyarakat diminta untuk mengelakkan berada di kawasan lapang dan tempat terbuka untuk jangka masa panjang kerana ianya boleh berlakunya pendedahan haba untuk tempoh yang agak panjang dan menjejaskan kesihatan,”.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment