Tuesday, 11 February 2014

Nabil merajuk

Nabil Ahmad
Nabil Ahmad. - Foto Sinar Harian

PELAWAK, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad atau Nabil mengakui tidak akan memasuki apa-apa pertandingan lawak selepas ini melainkan program tersebut memerlukan pelawak-pelawak bersaing secara solo.

Katanya, keputusan itu diambil bukan kerana merajuk atau dicemuh peminat tempoh hari susulan tindakannya membuat lawak mengenai Luna Maya.

"Seperti saya cakap sebelum ini, saya tidak akan masuk pertandingan lagi melainkan program itu memerlukan semua bertanding secara solo, kalau tak, saya tak akan sertai lagi.

"Lagipun sebelum ini saya pernah masuk secara berkumpulan dengan Boboi dan dapat nombor tiga, kali ini secara solo," katanya.

Nabil berkata, sejak akhir-akhir ini penilaian orang pada dirinya tidak adil kerana dia dibandingkan dengan kumpulan yang mempunyai dua atau tiga ahli.

"Bagi saya penilaian orang lain pada saya agak tidak adil kerana saya satu kepala lawan tiga kepala dan bila saya buat lawak mereka rasa tak kelakar.

"Jadi selepas ini bila ada pertandingan solo, barulah orang boleh menilai secara individu, siapa yang lebih hebat," katanya.

Mengulas mengenai persembahannya yang sedikit hambar pada malam itu, Nabil berkata, dia sudah cuba membuat yang terbaik dalam tempoh yang agak terhad.

"Sebaik pulang ke Kuala Lumpur, saya telah lakukan sesi latihan berulang kali dan saya memang cuba buat yang terbaik.

"Saya menangis bukan kerana sedih, tetapi apa yang saya rasa atas pentas, saya harap penonton juga dapat rasa," katanya yang mengakui sudah memohon maaf kepada Luna Maya secara peribadi di belakang pentas sebelum pertandingan akhir tersebut.

Berkongsi perkembangan terkininya, Nabil berkata, filemnya di bawah arahan Aaron Aziz, Kriptik dijangka akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, single terbaharunya, duet bersama Tegar juga bakal diperdengarkan sedikit masa lagi.

"Beberapa projek saya seperti telefilem untuk Astro Ceria yang menjalani penggambaran di Paris, juga akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, saya juga merancang untuk menambah anak dalam masa terdekat ini," katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment