Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Seorang suami tergamak membelasah isterinya yang sedang sarat mengandung hanya kerana tidak berpuas hati selepas disoal siasat oleh mangsa berhubung status sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seorang wanita kepadanya.
Kejadian berlaku di kediaman pasangan suami isteri itu di Kampung Laut, Chendering, di sini, kira-kira jam 11.37 pagi, 5 Februari lalu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa, 21, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan terbaca satu SMS yang dihantar oleh seorang perempuan dikenali kepada suaminya yang berbunyi 'kenapa tidak hubungi serta SMS pada hari ini'.
“Suspek berusia 20-an ‘terkantoi’ dengan SMS tersebut yang masih berada di dalam telefon bimbit miliknya kerana dipercayai terlupa untuk memadamnya.
“Mangsa yang terkejut selepas membaca isi kandungan SMS yang agak pelik itu, cuba mendapatkan penjelasan daripada suspek dengan bertanyakan status SMS tersebut,” katanya.
Bagaimanapun kata sumber, suspek yang tidak suka mangsa masuk campur urusannya mula naik hantu selepas disoal berhubung SMS tersebut.
“Mangsa bukan sahaja dimaki hamun, malah suspek tergamak menyepak, memukul dan menampar muka si isteri dalam keadaan mangsa yang sedang sarat mengandung itu,” katanya.
Kata sumber lagi, susulan perbuatan kejam suspek, mangsa lebam di bahagian muka serta bengkak di bahagian kepala serta sakit di bahagian perut.
Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengugut akan membunuh mangsa jika membuat laporan polis berhubung perbuatannya itu.
“Bagaimanapun, bimbang keselamatan diri dan keluarganya pada masa akan datang, mangsa tetap memberanikan diri membuat laporan polis tanpa mempedulikan ugutan tersebut sejurus suspek
melarikan diri,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment