Pengusaha Restoran Nasi Beriani Haji Tamby, Muhammad Nazli Zainul Abidin, 35, menunjukkan nasi beriani bersama ayam masak merah ketika ditemui di Melaka hari ini. - Foto Bernama
MELAKA - Ketika masyarakat sibuk membincangkan kenaikan harga barang keperluan, sebuah restoran di Padang Temu di sini sedia menawarkan nasi beriani, nasi putih, dalca dan acar secara percuma setiap hari kepada pelanggan.
Malah 'Restoran Nasi Beriani Haji Tamby' turut memberikan air sirap bandung percuma pada setiap Jumaat.
Pengusahanya, Muhammad Nazli Zainul Abidin, 35, berkata pelanggan yang menjamu selera di restoran berkenaan hanya perlu membayar untuk lauk pauk dengan harga berpatutan.
Katanya, kari kambing dijual pada harga RM6; kari itik RM7, dan ayam goreng RM4, berbeza dengan kebanyakan restoran yang menjual set nasi beriani pada harga antara RM10 hingga RM15.
"Tidak dinafikan berniaga ini kita nak cari rezeki dan keuntungan tetapi bagi saya ia juga salah satu cara untuk menggembirakan orang ramai...mudah-mudahan Allah akan menggembirakan kita pula," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau yang mengusahakan restoran tersebut bersama isterinya Amelia Tamby Hussin, 34, berkata langkah itu juga diharap memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
"Ada di antara pelanggan yang hanya memesan nasi beriani tanpa lauk serta air kosong, mungkin mereka ini orang susah, sekurang-kurangnya mereka boleh menikmati nasi beriani," katanya yang menggunakan beras basmati bagi menghasilkan nasi beriani.
Muhammad Nazli berkata sejak memulakan promosi itu dua minggu lepas, ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk pelanggan dari luar Melaka dengan dua periuk besar nasi habis dipesan setiap hari.
Beliau berkata, promosi itu akan dilakukannya sepanjang tahun ini dan bakal dikekalkan untuk tahun mendatang sekiranya memperoleh rezeki yang bertambah.
Katanya, restoran yang telah beroperasi selama enam tahun itu sebelum ini pernah memberi minuman sirap percuma kepada pelanggan. - Bernama
No comments:
Post a Comment