Wednesday, 5 February 2014

Kenapa PRK Kajang 'lambat'


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan 'lambat' adalah kerana banyak persediaan perlu dilakukan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak menjangka langsung akan adanya pilihan raya kecil ini dan menurutnya untuk mengadakan pilihan raya kecil bukanlah satu perkara yang mudah.

“Kita banyak persediaan. SPR tidak menjangka langsung ada pilihan raya kecil ini. Kita menumpukan perhatian kita kepada urusan-urusan yang lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Tetapi apabila ada pengumuman yang tidak disangka-sangka ada wakil rakyat yang meletak jawatan, kita kena ubah 'gear' dan buat persediaan," katanya dalam satu sidang media di pejabat SPR, pada Rabu.

Jelas Abdul Aziz, persiapan yang perlu dilakukan termasuk menyediakan daftar pemilih yang lengkap dan bersih, tempat mengundi yang baik, tempat penamaan calon yang baik dan juga pusat pengiraan undi yang baik.

Selain itu, katanya pemilik bangunan juga perlu bersetuju untuk premisnya dipakai oleh SPR.

Katanya SPR tidak mahu terburu-buru dalam menjalankan pilihan raya kecil, atas kebimbangan akan berulangnya kesilapan dalam proses pilihan raya yang pernah berlaku sebelum ini.

"Dan begitu juga latihan, kita tidak mahu kesilapan seperti mengisi Borang 13 dan Borang 14... kita perlu mengadakan latihan yang lengkap yang cukup.

“Jadi kita tidak mahu terburu-buru supaya tidak berlaku kesilapan... dan tarikhnya tidaklah terlalu lewat atau terlalu awal," kata Abdul Aziz.

Bagaimanapun, kata beliau tempoh yang diambil SPR masih dalam garis masa yang ditetapkan undang-undang, iaitu 60 hari selepas wakil rakyat tersebut meletakkan jawatan.

Katanya lagi, pihaknya juga perlu menguruskan dakwat kekal yang perlu diperoleh dari luar negara serta perlu diuruskan untuk dibawa balik yang mana proses itu juga memerlukan masa.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya pemberita mengapa SPR mengambil masa yang sangat lama bagi mengadakan pilihan raya DUN Kajang itu.

SPR telah menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan pada 23 Mac 2014, manakala hari penamaan calon ditetapkan 11 Mac.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang selepas ADUN kawasan itu, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.

Pakatan Rakyat telah menamakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. 

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment