Wednesday, 5 February 2014

Kantoi ketika buang sampah

Kantoi ketika buang sampah
Aksi kelindan lori selepas membuang sampah sebelum menyedari gambarnya dirakam.


KUALA LANGAT- Perangkap mengena! Itu yang berlaku ketika intipan Sinar Harian bersama penduduk bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di laluan tepi Lebuhraya Elite berdekatan Saujana Putra dekat sini, petang kelmarin.

Ketika intipan dibuat kira-kira jam 6 petang, sebuah lori tertera nama kedai perabot beralamat di Puchong didapati mengambil kesempatan membuang sisa perabot selepas melihat mengawasi keadaan kiri dan kanan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, dia sudah lama mencari pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit membuang sampah di situ sejak dua tahun lalu.

Katanya, pemilik tanah berhampiran ada mengadu kepadanya mereka disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tanah dimiliki menjadi lokasi pembuangan sampah. Tidak kurang juga ada yang membuang sampah di tanah rizab kerajaan.

Pemilik tanah katanya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu sehinggalah jerat intipan mengena semalam.

Pemandu didapati menunggu di dalam lori untuk melihat keadaan sekeliling sementara kelindannya sibuk mengeluarkan sampah kayu, kabus dan kusyen yang dipercayai sudah tidak boleh digunakan.

Sebelum ini sampah jenis sama juga dilonggokkan di situ dipercayai dilakukan pihak yang sama. Mereka seolah-olah sudah biasa dan mengambil kesempatan melakukannya ketika orang ramai bercuti panjang.

Apabila ditanya siapa membenarkan mereka membuang sampah di situ, kelindan lori dipercayai warga Pakistan menjawab dengan kata-kata kasar kepada penduduk.

Ketika disuruh mengangkut kembali sampah masuk ke dalam lori, pemandu enggan menuruti arahan sebaliknya hanya mengangkat sebongkah kayu sebelum menghidupkan enjin dan terus melarikan diri.

Penduduk memberitahu, pihak terbabit mengambil kesempatan membuang sampah di situ berikutan laluan itu lengang dan jarang digunakan kerana ia hanya jalan pintas penduduk dari Puchong ke Saujana Putra.

“Memang kita kesal dengan perbuatan membuang sampah secara haram ini, setiap kali dibersihkan akan datang pula sampah baru, yang mengejutkan pihak melakukan perkara ini adalah pekerja asing dari kedai perabot terletak jauh dari sini.

“Saya minta majlis perbandaran ambil tindakan kepada mereka, kami ada bukti bergambar, arahkan pihak itu bersihkan kembali lokasi pembuangan sampah terbabit,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment