Datuk Mohmad Salleh - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Rakan setugas anggota Cawangan Khas PDRM yang ditemui mati ditembak di Bukit Persekutuan di sini, ditahan semalam untuk membantu siasatan polis berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata anggota terbabit ditangkap pada 7.00 malam dan dibawa ke Balai Polis Travers.
Polis bagaimanapun tidak menyatakan lokasi anggota terbabit ditahan.
"Umurnya dalam lingkungan 30an, polis juga telah merampas sepucuk pistol miliknya serta beberapa dokumen lain yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Papan Kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah bagi sekolah di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya di sini, hari ini.
Menurutnya polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini selama tujuh hari bagi menjalankan siasatan.
"Mangsa bunuh tidak membawa senjata api ketika kejadian, motif kejadian masih belum dapat dipastikan," katanya.
Semalam, anggota polis Cawangan Khas itu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan.
Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter berdekatan sebuah motosikal.
Di lokasi kejadian polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah topi keledar dan jaket.
Dalam kes lain beliau berkata 87 laporan polis telah diterima terhadap satu penerbitan video Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang dipercayai melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
"Rakaman percakapan dengan 87 pengadu telah dilakukan dan polis akan merujuk kes ini kepada peguam negara sama ada dapat dituduh atau sebaliknya," katanya.
Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang berlakon sebagai pengacara telah menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina dan tetamu undangan Kok dikatakan membuat kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.
Sementara itu, sebanyak 50 papan kenyataan telah diserahkan kepada 50 sekolah di Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya.
Papan kenyataan itu bertujuan berkongsi informasi dengan golongan pelajar dari sudut kepolisan termasuk berkaitan undang-undang, aktiviti sekolah serta keratan akhbar. - Bernama
No comments:
Post a Comment