Wednesday, 5 February 2014

Bangunan Sultan Abdul Samad "beku' di Sapporo


SAPPORO: Satu ukiran ais bangunan Sultan Abdul Samad telah didirikan sempena penyertaan Malaysia dalam Festival Salji Sapporo ke-65 di Hokkaido. Ia juga usaha Tourism Malaysia untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk pasaran Jepun.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menerima ukiran tersebut daripada kerajaan Hokkaido dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Hokkaido dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun atas usaha mereka untuk menghasilkan ukiran ais itu.

"Bangunan yang dibina pada tahun 1857 penuh bersejarah dan berfungsi sebagai pameran Malaysia kepada dunia. Kami akan terus memelihara ia sebagai salah satu bangunan warisan yang paling menonjol di negara ini," kata Nazri pada majlis penyerahan itu.

Berukuran 18 meter tinggi, 28 meter lebar dan 20 meter dalam, ukiran ais Bangunan Sultan Abdul Samad berdiri gah di festival berkenaan yang dijangka akan menarik lebih daripada 2 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa yang bermula hari ini selama seminggu.

Festival Salji Sapporo dianjurkan sejak tahun 1950, dan mendapat sokongan bandar Sapporo, Persatuan Pelancongan Sapporo, Lembaga Pendidikan Sapporo dan Dewan Perniagaan dan Industri Sapporo.

"Melalui penyertaan Malaysia, kami berharap untuk mengetengahkan tawaran pelancongan Malaysia yang unik dan meletakkan negara sebagai destinasi percutian yang mesti dikunjungi bagi pelancong Jepun," katanya.

Selain ukiran ais, Tourism Malaysia juga mempunyai ruang pameran di festival di mana ia menampilkan cara membuat teh tarik, batik dan acara kebudayaan untuk menghiburkan pengunjung.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment