Friday, 24 January 2014

Suhu sejuk dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan



KUALA LUMPUR: Suhu sejuk yang melanda beberapa tempat di Pantai Timur dan Kedah kini telah mulai meningkat sedikit demi sedikit.

Pengarah Ramalan Kaji Cuaca Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata suhu rendah yang dicatatkan di beberapa tempat seperti Kuala Krai, Besut, Alor Star dan Kangar telah mulai naik antara satu hingga dua darjah celcius.

“Antara malam hingga pagi tadi, suhu di Kuala Krai yang sebelum ini mencatatkan cuaca terendah iaitu 17.5 darjah celcius telah mulai meningkat ke 19 darjah celcius,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Suhu rendah normal yang sering dicatatkan di Kuala Krai adalah sekitar 21.7 darjah celcius.

Beliau menambah, kenaikan suhu ini disebabkan adalah perubahan arah angin dari Timur Laut ke Barat Laut dimana sebelum ini, angin kering dari China telah bertiup dan membawa ke hawa sejuk di beberapa bahagian Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan beberapa tempat di Kedah dan Perlis.

“Suhu sejuk ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan dan ianya tidak merebak ke negeri-negeri lain di Malaysia dan keadaan dijangka kembali normal sekitar minggu hadapan ,” katanya lagi.

Purata suhu rendah normal pada bulan Januari di Malaysia adalah sekitar 22 hingga 23 darjah celcius.

Pada Rabu, suhu cuaca terendah telah direkodkan di Kuala Krai dimana ianya telah jatuh sehingga 17.2 darjah celcius dan menyebabkan penduduk di Kuala Krai terpaksa menggunakan baju sejuk, jaket dan juga selimut untuk keluar rumah di waktu pagi.

Penurunan drastik suhu juga direkodkan di tempat-tempat seperti di Besut, Alor Star dan Kangar. 

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment