Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Yang BAKTI Datin Seri Rosmah Mansor pada pelancaran program tahunan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) se-Malaysia 2013/. --fotoBERNAMA
NUSAJAYA: Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata isteri wakil rakyat perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu suami masing-masing selaras dengan keperluan dan tuntutan masyarakat demi kesejahteraan rakyat.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata selain mengiringi suami sebagai tetamu kehormat dalam sesuatu majlis, mereka juga proaktif menganjurkan program berorientasikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
"Sesungguhnya program-program mendekati rakyat jelas membuktikan peranan penting yang dimainkan oleh isteri wakil rakyat dan pada masa sama membantu merapatkan hubungan suami dan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2013/2014 yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini pada Khamis.
Turut hadir isteri timbalan perdana menteri selaku Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Menteri Besar Johor Datin Seri Rosni Omar merangkap Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor JUITA).
Kejohanan kali ini disertai 560 orang yang mewakili 14 buah negeri termasuk anggota BAKTI.
Rosmah berkata, peranan tersebut juga perlu dilakukan isteri-isteri wakil rakyat di negeri yang bukan di bawah kepimpinan BN supaya mereka dapat menggandakan usaha untuk memenangi hati rakyat untuk kembali menyokong BN.
"Untuk melaksanakan tanggungjawab ini, isteri-isteri wakil rakyat harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk pengetahuan asas dalam media sosial," katanya.
Beliau turut meminta semua pihak supaya bersatu-padu agar tidak memberikan ruang kepada pembangkang untuk memporak-perandakan mereka. - ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment