Adli Isham menunjukkan laporan polis dibuatnya berhubung kehilangan beg berkenaan.
SEREMBAN – “Saya orang susah, tolonglah… duit itu sumbangan orang ramai untuk kos perubatan anak saya yang sakit,” kata Adli Isham Abas, 35, yang bingung memikirkan wang RM3,000 hasil sumbangan orang ramai yang disimpan di dalam beg miliknya hilang dipercayai tercicir.
Walaupun mengakui agak mustahil untuk beg serta wang itu dikembalikan, namun dia amat berharap agar ada individu berhati mulia dapat memulangkannya.
Menceritakan kejadian pada minggu lalu, Adli berkata, ketika kejadian dia baharu keluar rumah namun ketika dalam perjalanan, dia mula menyedari beg berwarna hitam miliknya tiada.
“Jadi, saya memberhentikan kenderaan di tepi jalan memeriksa seluruh kereta, namun kecewa kerana beg saya berisi wang sumbangan orang ramai RM3,000 untuk kos perubatan anak saya hilang.
“Puas saya mencari di sepanjang jalan, namun tiada. Saya mula ingat semasa saya tutup pagar rumah, saya letak beg itu di atas bumbung kereta,” katanya yang tinggal di Kuala Sawah, Rantau.
Sesiapa yang menjumpai beg itu boleh menghubungi Adli Isham di talian 019-6255349. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment