Antara gambar yang masih lagi disimpan Kamarulzaman (kanan) sebagai pengubat rindu.
BIARPUN dua dekad bersara dalam dunia polis, semangat Kamarulzaman Ab Majid, 75, bagaikan seekor singa setiap kali berbicara pengalamannya melawan serangan komunis dalam mempertahankan tanah air.
Bukan itu sahaja, air matanya pasti mengalir mengenangkan kalangan rakan seangkatan yang gugur ketika menentang komunis demi mempertahankan tanah air.
Menurut anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini, peristiwa menentang komunis itu masih segar dalam ingatannya walaupun ia sudah lama berlaku. Semasa menyertai Pasukan Polis Hutan (PPH) beliau pernah ditugaskan menentang komunis di merata hutan antaranya, Bentong, Pahang, Lenggong, Perak dan Gua Musang, Kelantan sehingga ke sempadan Thailand.
Beliau menambah, setiap kali ditugaskan masuk ke dalam hutan anggota PPH akan berada di situ selama tiga bulan dengan setiap anggota dibekalkan sepucuk pistol, 30 butir peluru dan tiga butir bom asap.
“Ketika di dalam hutan, segenap pancaindera perlu waspada, kaki misalnya perlu berhati-hati agar tidak terpijak jerangkap samar.
“Pada sebelah malam pula kami dilarang sama sekali untuk menyalakan sebarang api atau cahaya,” katanya menceritakan pengalaman semasa bertugas.
Tersangkut di lori
Kamarulzaman pernah bekerja sebagai PPH, sebelum menjadi anggota polis pada 1989. Sepanjang bertugas, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila saat enam rakan anggotanya mati.
Peristiwa berdarah itu berlaku dalam satu serangan segerombolan komunis ketika mereka baru hendak memasuki hutan dengan konvoi lori, di Lenggong, Perak pada 1972.
Beliau berkata, pada waktu itu tembakan bertubi-tubi dilepaskan dan seorang daripada enam anggota itu tersangkut semasa terjun dari lori.
“Paling menyedihkan ketika dia tersangkut itulah dia ditembak dan ditikam oleh komunis tanpa perikemanusiaan dengan menggunakan benet,” katanya.
Ekoran peristiwa tersebut, katanya, semua kenderaan polis yang hendak memasuki hutan diarahkan untuk dicabut segala-galanya seperti pintu dan tingkap sehingga tinggal kerangka (badan) utamanya untuk memudahkan mereka terjun jika diserang.
Antara kenangan masih segar di ingatan bapa dua anak itu ialah, berhari raya di dalam hutan sebanyak tiga kali.
Kamarulzaman berkata, seperti anggota keselamatan hari ini mereka juga menerima sumbangan kuih raya ketika berada di dalam hutan.
“Antara kenangan saya tidak dapat lupakan ketika Ramadan apabila kem kami dikejutkan dengan serangan tembakan komunis bertalu-talu.
"Pada masa itu, kami sedang bersiap sedia untuk menjamah makanan berbuka puasa sehingga rezeki itu bertaburan ketika kami melompat bersembunyi ke dalam lubang kubu,” katanya.
Kini semua itu hanya tinggal kenangan buat beliau yang bersara pada 1996 dengan berpangkatkan Sarjan.
Walaupun sudah bersara namun Kamarulzaman masih lagi bergiat aktif dalam bidang tersebut dengan menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Pengerusi di Negeri Cik Siti Wan Kembang.
- Sinar Harian
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment