Anggota polis melihat kesan gilis pada tayar lori tersebut. Gambar kecil: Mohamad Sofiuddin
BALING - “Baru tahun ini dia naik motosikal pergi ke sekolah, sebelum ini, dia hanya tumpang rakan,” kata Rosli Abd Rahman, 56, bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong yang maut dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 7 pagi, semalam.
Mangsa, Mohamad Sofiuddin Rosli, 16, maut di tempat kejadian setelah digilis lori muatan balak di Kilometer 27, Jalan Baru Baling berdekatan Kampung Seri Ketengga.
Abdul Rahman berkata, anaknya dalam perjalanan untuk menumpangkan rakannya sebelum ke sekolah.
Mangsa merupakan anak kedua dari tujuh beradik dan merupakan seorang anak yang pendiam dan tidak banyak bercakap.
“Baru semalam dia makan tengah hari di rumah bapa saudaranya, Md Daud Awang Mohammad di Kampung Hajah Halimah.
“Arwah anak yang baik dan sangat menghormati orang tua,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori muatan balak sebelum bergesel dengan sebuah van dari arah bertentangan.
“Keadaan itu mengakibatkan mangsa terjatuh seterusnya digilis pada bahagian tayar belakang lori,” katanya.
Katanya, mangsa maut serta merta akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Menurutnya, bulan ini sahaja sebanyak tiga kemalangan maut dilaporkan pada tahun ini dan semua mangsa merupakan penunggang motosikal.
“Dua daripada mangsa yang maut ini adalah pelajar sekolah,” katanya.
Mayat Mohamad Sofiuddin kemudiannya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Arwah selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Tanjung Pari.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment