SHAH ALAM- Guru Besar SK Kajang Utama, Kajang dihukum penjara 3 tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan, meminta serta memperoleh suapan RM3,000, tiga tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, M. Bakri Abdul Majid terhadap Abdul Samad Abdul Ghani, 50.
M. Bakri dalam penghakimannya berkata, pembelaan Abdul Samad adalah rekaan semata-mata supaya disesuaikan bagi menyatakan wang rasuah tersebut untuk sumbangan sekolah.
"Mahkamah tidak terima pembelaan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuklah keterangan pakar yang mengesahkan terdapat pindaan pada borang permintaan sumbangan,"katanya.
Lelaki itu didakwa meminta dan memperoleh rasuah RM3,000 daripada pengusaha kantin, Zainun Hussain bagi menyambung kontrak kantin sekolah bagi sesi 2013.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di SK Kajang Utama, Kajang, jam 11 pagi pada 8 dan 14 November 2011.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Peguam, Hazman Harun yang mewakili anak guamnya memohon penangguhan hukuman penjara untuk memfailkan rayuan.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan jaminan RM8,000. -- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment