Detik 12 malam, tanggal 16 Sept, 1963, tatkala tembakan meriam meraikan penyertaan Semenanjung, Sarawak, dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, Rabayah Sariee dan suami, Sahat Sonong, gembira menyambut kelahiran anak lelaki di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.
Atas rasa syukur menimang cahaya mata dan tanda cinta kepada negara yang baru ditubuhkan itu, Sahat mengambil keputusan untuk menamakan anak lelakinya itu 'Malaysia'.
Di Kampung Nanas, Simunjan, kira-kira 125 km dari Kuching, Udin Matasen, anggota 'tegar' Parti Negara Sarawak (Panas), satu daripada parti dalam gabungan Parti Perikatan Sarawak, menyambut kemenangan parti gabungan itu dalam pilihan raya Majlis Daerah 1963 dengan turut menamakan cucu perempuannya, 'Malaysia'.
Anak perempuan Udin, Jijah Udin dan suami, Yap Masili tidak membantah terhadap cadangan itu memandangkan anak perempuan mereka sememangnya dilahirkan pada tanggal istimewa itu.
Malaysia Sahat dan Malaysia Yap adalah antara mereka yang dilahirkan pada tanggal 16 Sept, 1963, diberi nama 'Malaysia' kerana lahir pada tarikh keramat tertubuhnya sebuah negara baru.
Mereka berdua juga adalah antara 10 peserta 'Anak-anak Malaysia' dari Sarawak yang dijangka terlibat dalam acara sambutan Jubli Emas Pembentukan Malaysia pada 16 Sept ini, di sini.
SUKA DUKA BERNAMA 'MALAYSIA'
'Menjejaki' Malaysia Sahat, yang kini tinggal di Kampung Endap, Kota Samarahan, kira-kira 30 km dari Kuching tidak begitu sukar, namun kehadiran penulis di rumahnya disambut dengan wajah kehairanan, sedikit terkejut, dan beliau kelihatan kelu seribu bahasa buat seketika.
Hampir lima minit, penulis cuba menjelaskan serta menyakinkan niat serta tujuan, sebelum beliau dilihat mulai faham dan memberi kerjasama.
"Sebenarnya saya terkejut, pelik tidak sangka anda nak tulis pasal nama 'Malaysia' saya, betul-betul tidak sangka nama saya begitu bernilai," katanya sambil tertawa.
Menurut Malaysia Sahat, pelbagai kisah lucu, dan menarik berlaku ke atas dirinya sejak membawa nama 'keramat' itu.
"Bila orang tanya nama, saya terpaksa keluarkan kad pengenalan untuk buktikan 'Malaysia' memang nama saya," katanya sambil ketawa.
Bapa kepada tiga anak, dua perempuan dan seorang lelaki itu berkata selain itu, hanya ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat mengetahui nama sebenarnya itu.
"Rakan-rakan biasa panggil saya 'Deka' (diambil daripada perkataan merdeka).
"Penduduk di Kampung Endap ini pun, mula tahu nama saya pada tahun 2007, masa itu Jabatan Penerangan datang cari saya untuk dibawa ke Kuala Lumpur untuk menyertai Program Perhimpunan Anak-Anak Merdeka bersempena sambutan Hari Merdeka pada tahun itu," katanya.
PENGALAMAN SAMA BAGI MALAYSIA YAP
Bagi Malaysia Yap, yang kini tinggal di Kampung Samariang Baru Fasa III, Petra Jaya, sejak berpindah dari Simunjan membawa nama 'Malaysia' bukannya mudah dan sering menjadi 'mangsa' ejekan rakan-rakan.
"Kena perli tu dah biasa, lebih-lebih lagi kalau Malaysia kalah dalam sebarang pertandingan, memang makcik la jadi mangsa," katanya sambil tersenyum.
Malaysia Yap kadangkala rasa malu dan terpikir kenapa datuknya beri nama itu kepadanya, namun memikirkan tidak ramai yang 'berani' beri nama itu kepada anak, membuatkan beliau berasa bangga.
"Dahulu memang ada rasa malu, tapi bila fikir balik, beberapa faktor antaranya pengorbanan datuk yang sama-sama berjuang untuk pastikan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia, makcik rasa bangga dengan nama ini," katanya.
TERUJA IKUT SAMBUTAN 50 TAHUN
Bagi Malaysia Yap, ibu kepada enam anak, lima lelaki dan seorang perempuan, pengalaman pertama menyertai perhimpunan Anak-Anak Merdeka di Kuala Lumpur sangat menguja.
"Masa majlis di Kuala Lumpur, makcik berkesempatan berjumpa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," sambil bangga menunjukkan sijil serta buku 'The Malaysia Book of Records' yang mengiktiraf perhimpunan itu sebagai "Biggest Gathering of People Sharing the Same Birth Date".
Menurutnya peluang kedua ini tidak akan dilepaskan.
Malaysia Sahat yang turut dijemput menyertai perhimpunan pada 2007 berkata, beliau tidak menyertai perhimpunan itu kerana mempunyai urusan lain.
"Tahun 2007, saya tidak dapat ikut tapi kali ini saya mesti turut serta... tambahan pula semua rakyat Malaysia bercuti pada hari lahir saya itu nanti," katanya berseloroh.
HARAPAN ANAK MALAYSIA
Memasuki tahun ke-50 sambutan Hari Malaysia, dan tahun ke-56 sambutan Hari Merdeka, Malaysia Sahat dan Malaysia Yap yang kini menjalani kehidupan serba sederhana bersama-sama berkongsi harapan agar mereka tidak hanya dikenang apabila tiba hari sambutan dua hari besar negara itu.
"Makcik masih berhubung dengan kawan-kawan masa perjumpaan 2007 dahulu, mereka cakap Kelab Anak Merdeka di Semenanjung aktif, ada pelbagai aktiviti, diharap Kelab Anak Merdeka di Sarawak ini pun turut sama aktif dan menjaga kebajikan Anak-anak merdeka di sini," kata Malaysia Yap.
Menurut beliau, membawa nama 'Malaysia' seakan memberi satu tanggungjawab kepadanya untuk terlibat dalam aktiviti patriotisme dan kesukarelawanan.
No comments:
Post a Comment