PENGUNJUNG mengunakkan gogel platform realiti maya untuk mendengar pembentangan di Mobile World Congress (WMC) di Barcelona. - Foto EPA
BAHANG Mobile World Congress (WMC) di Barcelona kini bermula dan menepati jangkaan, platform realiti maya (VR) mendapat pentas utama di kebanyakan pengeluar jenama mudah alih terkemuka dunia.
Kecenderungan minat pengguna yang semakin meningkat dan peralihan keperluan menggunakan kandungan digital menerusi VR, berjaya mempengaruhi perkembangan pasaran global walaupun sebenarnya teknologi itu sudah berada di pasaran sejak hampir 10 tahun yang lalu.
Pembukaan acara penting industri peranti mudah alih global yang berlangsung seminggu bermula hari ini itu menyaksikan beberapa firma elektronik global mula melancarkan peranti VR masing-masing.
Pagi ini, AFP melaporkan Samsung Electronics dan LG mula memperkenalkan peranti telefon pintar baharu dengan kamera yang lebih baik dan keupayaannya memaparkan paparan VR untuk digunakan bersama set kepala VR keluaran mereka.
Langkah itu dilihat sebagai serampang dua mata untuk syarikat menaikkan minat pengguna dan memperbaiki jualan di tengah-tengah kelembapan permintaan terhadap peranti mudah alih.
Samsung melancarkan dua versi telefon pintar iaitu Galaxy S7 dengan skrin rata dan Galaxy S7 edge, dengan skrin lengkung. Kedua-dua peranti pintar baharu itu dibangunkan dengan kamera yang mampu merakam dalam persekitaran cahaya rendah.
Pada majlis yang sama, gergasi elektronik Korea Selatan itu turut memperkenalkan Gear 360, kamera sfera kecil berserta tripod, yang mampu merakam 360 darjah di sekeliling pengguna secara serentak.
Langkah memperkenalkan peranti dan set kepala tontonan berserta kamera merakam kandungan VR sebelum pelancaran pembukaan MWC 2016 itu adalah usaha Samsung untuk terus mengukuhkan kedudukan di hadapan Apple.
Kamera yang direka khas untuk merakam gambar dan video sekeliling pengguna itu boleh dimuat turun ke Facebook dan YouTube, atau dinikmati dengan lebih baik menerusi set kepala VR Samsung, Gear VR, yang akan mula dipasarkan menjelang November ini.
Ketua Eksekutif dan Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg turut mengadakan kejutan dalam sidang media Samsung untuk mengumumkan kerjasama dengan Firma Teknologi Korea bagi mempromosikan penggunaan VR dalam laman sosialnya.
Pada majlis yang sama, LG turut berkongsi kedudukan Samsung dengan memperkenalkan peranti premium baharunya iaitu G5, telefon modular pertama menggunakan komponen berbeza, yang membolehkan pengguna menaik taraf secara bebas, meliputi semua komponen utama telefon, termasuk bateri.
G5 ditawarkan dengan aksesori seperti sistem bunyi dibangunkan oleh Bang & Olufsen dan set kepala VR yang membolehkan ia bersaing dalam liga pasaran yang sama seperti set kepala VR milik Samsung tahun lalu.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment