Tuesday, 1 March 2016

Berlawak tidak semestinya di TV - Johan

JOHAN bersama trofi yang dimenangi pada AME 2016.

KUALA LUMPUR: "Apabila menang kategori Artis Lawak Meletop, saya dapat rasakan, berlawak itu tidak semestinya di TV," kata Johan mengulas kemenangannya pada Anugerah Meletop Era (AME) 2016, yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun jarang muncul di kaca TV, sebaliknya dengan memberikan tumpuan kepada bidang penyampaian radio, beliau juga mampu membuatkan orang ramai terhibur.

Selain kemenangan dalam kategori terbabit, Johan turut membawa pulang beberapa trofi lain termasuk Top Top Meletop (Lelaki), yang turut dimenanginya pada edisi lalu.

"Terima kasih kerana peminat menerima lawak saya di radio. Walaupun setahun sekali saya muncul dalam program lawak di TV, kemenangan semua ini lebih kepada kejayaan saya berada di radio.

"Saban hari, orang mendengar suara saya di radio. Setiap hari juga saya kena fikirkan kelainan untuk slot JoHaRa Pagi Era bersama Haniff dan Ray. Selain itu, kejayaan saya ini lebih kepada keluarga. Sebelum datang ke anugerah ini pun, anak saya cakap dan berdoa semoga papa mereka menang dan alhamdulillah, ia dipermudahkan," katanya yang percaya, amalan bangun sebelum Subuh turut memudahkan rezeki seseorang.

Diusik pertanyaan apakah beliau kini termasuk dalam golongan pelawak paling mahal di Malaysia, Johan berkata, beliau tidak boleh menilai dirinya sendiri. 

"Orang lain yang boleh menilai saya. Siapa kita untuk mengatakan diri kita bagus dalam kerja yang dilakukan? Bagaimanapun saya bersyukur kerana mempunyai isteri (Ozlyn Wati) yang menjadi tulang belakang selama ini.

"Beliaulah yang banyak memeriksa bahan untuk saya persembahkan. Beliaulah juga yang akan komen sama ada lawak yang saya sampaikan menjadi atau sebaliknya. Di belakang kejayaan saya ada isteri dan di belakangnya ada anak kami," katanya.

Ditanya apakah kejayaan yang dikecapi menjadi tekanan dalam hidupnya, bagi dirinya, perkara itu wujud di mana-mana sekali pun.

"Tidak menang pun ada tekanannya juga, apatah lagi apabila menang. Di mana-mana pun, termasuk di media sosial, tekanan itu pasti ada. Orang pasti akan mencari kesalahan kita," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment