Kesan jari terputus yang ditemui di lokasi serangan dikatakan sama dengan rekod yang dimiliki polis. - Foto Reuters
PARIS: Polis Perancis hari ini telah mengenal pasti seorang daripada tujuh penyerang bersenjata yang melakukan serangan sehingga meragut sekurang-kurangnya 129 nyawa dan mencederakan lebih 300 yang lain dalam serangan di Paris, pada Jumaat.
Pihak berkuasa menamakan Omar Ismail Mostefai, 29, sebagai penyerang pertama yang dikenal pasti dari jarinya yang ditemui di dewan teater Bataclan, lokasi paling berdarah dalam serangan itu.
Mostefai, seorang warga Perancis dibesarkan di pinggir bandar Paris, pernah ditahan atas beberapa kes jenayah ringan namun tidak pernah dipenjarakan.
Kesan jari terputus yang ditemui dikatakan sama dengan rekod yang dimiliki polis.
Menurut Pendakwaraya Paris, Francois Molins, nama Mostefai pernah disenarai polis pada 2010 sebagai seorang yang radikal namun tidak pernah dikaitkan dengan sebarang rangkaian pengganas atau terbabit dalam sebarang perancangan mengenainya.
Maklumat itu didedahkan selepas kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan lewat malam itu.
Presiden Perancis, Francois Hollande menyifatkan serangan itu sebagai satu ‘tindakan melancar perang’, hanya 10 bulan selepas serangan di pejabat majalah kartun Charlie Hebdo.
Sementara itu siasatan mencari dalang di sebalik insiden itu diperluaskan ke beberapa bandar di Eropah termasuk Belgium yang cuba mengenal pasti sama ada terdapat kaitan dengan seorang lelaki yang ditahan bersama bahan letupan baru-baru ini.
- Sumber: Agensi
No comments:
Post a Comment