Sunday, 15 November 2015

Kumpulan 'I Killed the Prom Queen' ditahan selepas buat persembahan


Kumpulan 'I Killed the Prom Queen' terpaksa membatalkan penyertaan mereka dalam Rock In Solo 2015 di Indonesia yang sepatutnya berlangsung hari ini.

KUALA LUMPUR: Kumpulan metal I Killed the Prom Queen yang sedang dalam rangka promosi jelajah Asia Tenggara telah ditahan oleh pihak Imigresen Malaysia.

Didakwa tahanan tersebut dilakukan kerana pihak penganjur tidak menyediakan visa kerja untuk band tersebut membuat persembahan di dalam negara.

Pihak imigresen turut berada di lokasi persembahan sebelum penahanan itu dibuat.

Kesemua ahli kumpulan tersebut ditahan selepas membuat persembahan. Mereka akan ditahan selama 4 hingga 14 hari di pusat tahanan Imigresen.

Perkara tersebut diumumkan oleh Jona Weinhofen yang merupakan pemain gitar utama kumpulan tersebut menerusi akaun Twitter miliknya.

Tambah Jona lagi, pihak berkuasa Imigresen turut meminta tandatangan mereka dan salah seorang daripada pegawai turut mengenakan kemeja T kumpulan tersebut.

Tweet terakhir Jona kira-kira pukul 2 pagi hari ini menyatakan yang mereka telah diberikan makanan dan minuman serta berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, kumpulan tersebut terpaksa membatalkan penyertaan mereka dalam Rock In Solo 2015 di Indonesia yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Kumpulan metal I Killed the Prom Queen mengadakan persembahan di Kuching dan Kuala Lumpur pada 13 dan 14 November lalu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment