Sunday, 2 August 2015

Pintu pesawat ditemui terdampar di pantai Pulau Reunion

Kurang seminggu selepas penemuan flaperon atau serpihan sayap pesawat, kini pintu sebuah pesawat ditemui terdampar di kawasan pantai Pulau Reunion, berdekatan dengan Madagascar.

KUALA LUMPUR: Kurang seminggu selepas penemuan flaperon atau serpihan sayap pesawat, kini pintu sebuah pesawat dilaporkan ditemui terdampar di kawasan pantai Pulau Reunion, berdekatan dengan Madagascar.

Objek itu bagaimanapun dijumpai di lokasi yang berbeza daripada penemuan flaperon itu, lapor Sky News pada Ahad.

Pelbagai spekulasi timbul yang mendakwa objek itu termasuk kemungkinan milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang tanpa jejak pada 8 Mac tahun lalu.

Pesawat yang dijadualkan tiba di Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Serpihan bahagian sayap pesawat itu telah tiba di Perancis pada awal pagi Sabtu untuk tujuan penyiasatan.

Sumber lapangan terbang memaklumkan, serpihan sepanjang dua meter itu berlepas dari pulau tersebut pada jam 9.15 malam waktu tempatan pada Sabtu. 

Kumpulan pakar akan memulakan analisis serpihan sayap pesawat itu pada Rabu depan, bersama dengan pemeriksaan bagasi yang ditemui di kawasan yang berhampiran.

Namun jika benar ia adalah serpihan pesawat MH370, lokasi ia ditemui berhampiran pantai Magadascar jauh tersasar daripada lokasi terakhir ia dikesan, perairan Vietnam kira-kira 3,800 batu.

Pada 31 Julai, AFP melaporkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi membuat pengesahan bahawa serpihan itu datang dari sebuah pesawat Boeing-777.

Terdapat beberapa insiden melibatkan Boeing-777 direkodkan sejak pesawat ini mula-mula digunakan pada 1994. Daripada semua insiden-insiden ini, hanya lima yang berakhir dengan pesawat terbabit dianggap dilupuskan, juga dikenali sebagai 'hull loss'.

Daripada lima insiden itu, hanya satu kes direkodkan yang melibatkan pesawat Boeing-777 hilang di kawasan lautan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment