Monday, 4 May 2015

Zara Zya, Hisham Hamid mahu kekal relevan

Zara Zya, Hisham Hamid

KEKUATAN sesebuah karya sememangnya memberi impak besar dalam penerbitan filem mahupun drama.

Selain menampilkan jalan cerita yang tidak klise, bakat dan kualiti lakonan yang mantap daripada pemainnya juga diperlukan untuk meletakkan diri pada tahap yang boleh dibanggakan. Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama produksi semata-mata malah mampu memberi tuah buat pelakon yang menjayakannya.

Hisham Hamid dan Zara Zya adalah antara dua pelakon yang mula meniti baitbait populariti menerusi karya hebat seperti Ariana Rose dan Love You Mr Arrogant.

Kesungguhan dan kualiti lakonan yang dipamerkan kedua-dua pelakon ini menghidupkan watak masing-masing nyata berbaloi apabila penerimaan penonton terhadap kedua-dua drama itu adalah luar biasa. Menganggap kejayaan itu sebagai satu tuah, Zara nekad bekerja lebih keras memastikan namanya terus relevan.

“Saya gembira kerana terpilih untuk turut sama-sama menjayakan drama itu tapi sebagai pelakon, kalau boleh saya mahu setiap lakonan saya mampu memberi impak yang sama.

“Saya lebih menonjol dalam drama itu juga mungkin kerana watak Zaara Amirah yang saya bawa itu memiliki karakter yang penonton suka.

“Tapi saya tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan sekarang malah saya mahu pastikan karier terus berkembang dan kekal dengan memberikan kualiti lakonan yang baik dalam setiap tugas yang saya galas,” katanya.

Melihatkan populariti yang diraihkan kini, pelakon kelahiran Lenggong, Perak ini akui ia bukanlah semudah yang dibayangkan.

“Populariti datang selepas lebih kurang sepuluh tahun saya berada dalam industri lakonan.

“Walaupun memakan masa yang panjang, namun saya bersyukur kerana rezeki masih menyebelahi saya.

“Di sebalik populariti seseorang pelakon, kekuatan drama adalah antara faktor terpenting dan saya tidak pernah menyesal malah berbangga terlibat dalam produksi itu,” katanya gembira.

Turut merasai perkara yang sama, Hisham akui untuk terus kekal dalam industri adalah cabaran utama buat dirinya.

“Untuk dikenali mungkin mudah, namun mengekalkan nama pada momentum yang sama adalah antara cabaran terbesar.

“Secara peribadi, apa yang saya cuba lakukan adalah lakukan yang terbaik apabila diberi peluang untuk bekerja dengan sesebuah produksi.

“Dari situ juga selain memberi kepuasan kepada penonton, kesungguhan kita dalam membina nama juga akan dilihat,” tuturnya.

Sebagai pelakon, Hisham juga menitik beratkan kemampuannya dalam menguasai sesuatu watak sebagai usaha memastikan namanya terus relevan.

“Apa yang penting buat pelakon adalah bagaimana cara mereka menghidupkan watak yang digalas tidak kiralah watak
utama mahupun sampingan.

“Saya sendiri kalau diberi watak, saya akan teliti bagaimana cara untuk saya tinggalkan kesan dalam lakonan itu.

“Walaupun bukan watak utama kalau kita berjaya tinggalkan impak yang kuat, orang akan ingat,” katanya.

Pertaruh bakat

'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'.

Impak lakonan menerusi drama adaptasi Love You Mr. Arrogant sememangnya mengubah haluan karier aktres berusia 30 tahun ini.

Mana tidaknya, penangan drama tersebut juga telah melayakkannya menerima enam anugerah menerusi Anugerah MeleTOP Era 2014 (AME2014), Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2014 (DFKL 2014) dan Anugerah Bintang Popular ke-27.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian itu. Tidak ramai yang berpeluang seperti saya dan saya anggap itu sebagai tuah dan rezeki.

“Inilah kejayaan yang boleh saya bawa dan tunjukkan pada masa depan terutamanya pada keluarga saya nanti,” katanya sambil tertawa kecil.

Memandang pencapaian itu dari sudut yang lebih positif, Zara tidak mahu menghampakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Saya sedar kemunculan pelakon baharu semakin ramai, jadi saya sendiri perlu bekerja lebih keras untuk membalas semula jasa peminat yang tidak putus memberi sokongan kepada saya.

“Saya sendiri bukanlah mahu kejar populariti tapi apa yang lebih penting lakonan itu diterima baik dan mampu beri impak pada karya,” janjinya.

Menyelak perjalanan karier yang dianggap masih baharu, Hisham nafi kecewa malah berterima kasih kepada peminat walaupun tewas untuk dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular.

“Saya bersyukur walaupun masih baru, tapi sudah berjaya ke peringkat akhir pencalonan.

“Walaupun tidak menang, ia satu permulaan yang baik tambahan pula ia bukanlah anugerah calang-calang.

“Kenapa saya tercalon juga adalah atas sokongan peminat dan saya perlu berterima kasih kerana tanpa mereka siapalah saya,” luahnya.

Zara ke bidang usahawan

Menyedari peredaran usia bakal menghalangnya untuk terus menjalani karier lakonan, Zara kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan produk kosmetik di bawah jenama ‘Miss Zara’ sebagai jaminan masa depannya.

“Lakonan adalah minat saya dan pada masa yang sama juga ia sebagai lubuk untuk saya mencari rezeki.

“Namun saya sedar, dunia penuh populariti ini sukar untuk dijangkakan, jadi sebagai persediaan awal, saya kini buka cabang baru dalam bidang perniagaan produk kecantikan,” katanya.

Enggan usahanya dilihat umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’, Zara memiliki perancangan teliti dalam membawa jenamanya setanding dengan yang lain.

“Sebenarnya perniagaan ini baru saja bermula dan buat masa ini ia hanya dijalankan menerusi perniagaan atas talian dalam Instagram.

“Kalau boleh saya memang serius untuk kembangkan lagi perniagaan ini ke tahap yang lebih baik.

“Lagi pun tidak salah saya gunakan platform sebagai artis untuk mengembangkan lagi usaha saya ini,” katanya.

Pengorbanan berbaloi

Di sebalik kejayaan pastinya turut diiringi dengan pengorbanan.

Demi mengembangkan karier lakonannya di sini, Hisham mengambil risiko meninggalkan karier sepenuh masanya di Singapura selain membawa keluarga berpindah di Malaysia.

Namun, pengorbanan itu kini dilihat semakin berhasil apabila peluang dalam bidang lakonan semakin menyebelahi dirinya.

“Saya akui memang banyak cabaran untuk berpindah ke sini, terutamanya dalam soal persekolahan anak-anak di mana kami perlu berhadapan dengan pelbagai prosedur yang rumit.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah tapi Alhamdulillah biarpun masih baru, saya nampak pengorbanan itu seakan berbaloi.

“Walaupun masih jauh perjalanan saya, tapi apa yang saya peroleh hari ini adalah permulaan yang baik untuk saya, keluarga dan karier,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Hisham kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 148 episod “Memori Cinta Suraya” yang diadaptasi daripada telenovela dari Mexico “A Love To Remember”.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment