HAIRUL SAFUAN: Ahli FMC berikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan menyokong agar pemandu yang menyebabkan kemalangan dihadapkan ke muka pengadilan.
KUALA LUMPUR: Wakil daripada Familia Myvi Club (FMC) yang juga orang kedua kelab tersebut, Hairul Safuan ketika ditemui di kediaman keluarga mangsa hari ini memberitahu, kunjungannya bersama beberapa ahli FMC adalah atas rasa prihatin terhadap keluarga mangsa dan tanggungjawab untuk menjaga hubungan baik.
“Tujuan kami di sini adalah untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama kelab ini dan juga ahli-ahli lain yang tidak ada kena-mengena dengan kemalangan tersebut.
“Kami akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan menyokong agar pemandu yang menyebabkan kemalangan itu dihadapkan ke muka pengadilan.
“Selain itu, kami juga akan berbincang secara baik dengan ahli keluarga mangsa untuk melakukan sesuatu demi kebajikan dua lagi anak mangsa,” ujar Hairul.
Dalam pada itu menurutnya, ahli-ahli FMC sangat terkejut dengan insiden berkenaan dan bersimpati dengan nasib keluarga mangsa.
Hairul turut memohon agar pengguna internet dan juga pihak media tidak mensensasikan berita mengenai kejadian malang berkenaan sehingga memberi kesan kepada ahli-ahli FMC yang selama ini tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Kami menerima pelbagai ugutan dan kecaman di media sosial dan ini memberikan tekanan. Saya harap orang ramai dapat menilai perkara ini secara rasional dan tidak menghukum sembarangan, lebih-lebih lagi ke atas pihak yang tidak bersalah,” ujarnya.
Pada awal pagi Sabtu, adik bongsu Allahyarham Fairuz Nizam melalui akaun media sosialnya memohon agar ahli Kelab Kereta Myvi yang berkenaan datang bertemu dengannya.
Mengulas perkara itu, Muhamad Faizznur Asyraf ketika berkata, tujuan dia meletakkan status berkenaan bukanlah untuk menimbulkan kekecohan tetapi sekadar meminta agar anggota kelab berkenaan agar datang berjumpa dengan keluarganya bagi menjelaskan keadaan.
“Saya bukan berniat untuk menambah ketegangan antara keluarga kami dan ahli kumpulan mereka, dan bukan juga meminta pelbagai tuntutan tanggungan untuk dua anak mangsa, tetapi untuk menjernihkan keadaan.
“Apa yang mereka mahu lakukan untuk meringankan beban tanggungan keluarga ini adalah terpulang kepada mereka,” ujarnya yang buat masa ini memikul tanggungjawab bagi menjaga dua anak saudaranya itu.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment