Dr Mahathir
SHAH ALAM - "Sayangkan anak, tangan-tangankan, sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan, sayangkan pemimpin, tegur-tegurkan," demikian ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya pemimpin di negara demokrasi perlu sentiasa diingatkan dan ditegur supaya tidak leka dengan kelebihan yang diperoleh.
Katanya lagi, penyokong tidak boleh terlalu taksub dengan pemimpin sehingga sanggup mengabaikan kesalahan yang dilakukan oleh wakil rakyat tersebut.
"Tadi semasa saya mula-mula sampai (semalam) orang bangun dan tepuk tangan. Saya harap tepukan itu bukan untuk saya yang sekarang, tetapi untuk apa yang saya buat semasa saya jadi Perdana Menteri.
"... kalau saya jadi Perdana Menteri dan terlibat dengan rasuah serta pengambilan wang, saya hidup dengan kemewahan. Jangan sokong saya. Kalau saya tidak berjaya bangunkan negara, jangan sokong saya,” katanya ketika berucap dalam Program Bersama Tun Mahathir "Penyatuan Melayu dan Isu Semasa Negara" di Kelab Sultan Sulaiman, di Kuala Lumpur, semalam.
Jelas Dr Mahathir, teguran yang dibuat selama ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin BN, sebaliknya ia bertujuan untuk menyelamatkan parti itu dari kejatuhan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya tegur bukan untuk pecah-belahkan pemimpin dengan rakyat, tetapi ia untuk perkukuhkan parti pada PRU14 nanti. Pada kajian saya jika kita terus berada dalam keadaan seperti sekarang, kita bukan sahaja akan tawar, bahkan kita pasti akan tewas pada PRU akan datang.
“Saya tidak kira siapa, kawankah, lawankah, saya akan tetap tegur dia (pemimpin) sekiranya dia buat salah,” tegasnya Dr Mahathir sebelum disambut dengan tepukan gemuruh peserta program.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment