Sunday, 17 May 2015

Ubah suai pesawat untuk kegunaan mesyuarat

Najib ditemubual bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabatnya semalam menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-26 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 26 dan 27 April.

SHAH ALAM – Ubah suai yang dilakukan ke atas pesawat peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bertujuan untuk memudahkan urusan mesyuarat atau perbincangan yang berkemungkinan berlaku semasa penerbangan pesawat.

Najib menerusi tulisannya di NajibRazak.com berkata, pengubahsuaian ini juga memudahkan pemimpin melakukan tugasan dan kerja masing-masing sebelum sampai ke destinasi yang dituju.

“Ubah suai bagi ruang pesawat dilakukan bagi memudahkan pemimpin mengadakan perjumpaan mesyuarat semasa dalam penerbangan.

“Ia merupakan satu perkara yang standard bagi membantu memudahkan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Menurutnya, penggunaan pesawat rasmi kerajaan menjadi satu amalan standard bagi kebanyakan pemimpin di dunia ini.

“Sudah menjadi amalan biasa bagi pemimpin di dunia untuk menggunakan pesawat rasmi yang bukanlah mewah, tetapi cukup sekadar memberikan kemudahan lengkap buat pemimpin dalam melaksanakan tugas mereka.

“Jadi tidak perlu timbul soal sama ada perlu atau tidak sesebuah negara atau kerajaan untuk memiliki jet rasmi,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyanggah kenyataan pihak pembangkang yang selama ini menyuarakan pelbagai dakwaan terhadap pembelian jet baharu oleh kerajaan.

“Jangan kita terpedaya dakwaan yang diperkatakan oleh pihak pembangkang. Apa yang mereka gagal jelaskan adalah keperluan kerajaan untuk mengganti jet baharu dengan pesawat lama yang sudah berusia 16 tahun atas sebab-sebab keselamatan. Tambahan pula ia merupakan pesawat yang digunakan oleh Yang Di-Pertuan Agong; menyebabkan kami perlu mengambil kira segala faktor keselamatan sebagai kepentingan utama kami.

“Menyelenggarakan sebuah pesawat lama memakan kos yang sangat tinggi. Jadi kerajaan telah menjual semula pesawat tersebut dan dana yang diperoleh digunakan untuk menampung sebahagian daripada kos pembelian jet baharu,” jelasnya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment