Sunday, 17 May 2015

Berita kematian palsu, Awie: Saya masih hidup

Awie rancang ambil tindakan.


BERITA kematian palsu Awie telah dilaporkan berlaku beberapa kali semenjak 2013 di mana mangsa yang digelar 'Awie Lahad Datu' kerana mempunyai rupa seiras Awie, dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lahad Datu, Sabah. 

Bagaimanapun kini, atas sikap penting diri sesetengah pihak yang ingin mencari jalan singkat bagi mempopularkan blog kelolaan mereka, berita tersebut kembali disebarkan.

Lebih buruk apabila mereka menggunakan gambar Awie sehari selepas penyanyi itu menerima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seolah-olah menggambarkan penyanyi itu yang meninggal dunia.

Kesannya dek berita tersebut, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dihujani panggilan telefon daripada rakan-rakan dan pihak media yang mahu mengetahui kesahihan berita tersebut.

“Saya pun tak faham kenapa berita ini jadi viral semula. Saya dihubungi rakan-rakan dan media bertanyakan keadaan saya. Ada yang telefon sambil menangis. 

“Berita ini sedikit sebanyak mengganggu jadual harian saya. Saya kena jawab soalan yang sama berulang kali daripada pelbagai pihak. Saya faham, saya kena jawab sebab ini melibatkan emosi keluarga, kawan-kawan dan saya ada anak," jelasnya ketika dihubungi Zass.

Tidak akan terus berdiam diri dengan perkara ini, Awie berkata, dia akan bertindak.

“Kadang-kadang emosi ini kita tak boleh kawal. Ia boleh menjejaskan saya sebab tu saya tak nak balas apa apa di Facebook sebaliknya akan guna saluran undang-undang. 

"Kali ini saya tak kan berdiam diri. Saya akan bertindak. Tunggu dan lihat!” tegasnya.

Penyanyi dari Kumpulan Wings ini berkata, dia sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap pencetus isu kematian palsu ini dan akan merujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

Satu laporan polis juga akan dibuat dalam masa terdekat. Tegasnya, mereka yang bertanggungjawab mencetuskan perkara ini akan dicari sampai dapat.

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian mempunyai musuh dalam industri hiburan Awie menafikannya tetapi tidak menolak kemungkinan ada individu yang tidak suka kepada pencapaiannya.

“Saya tidak tahu. Tak ada musuh dalam industri. Untuk apa bermusuh sebab saya perlukan masyarakat untuk sokong saya, beli album saya dan produk saya. 

"Mungkin ada yang tak suka dari segi karakter atau kata-kata saya yang menyinggung mana-mana pihak.

“Tak tahulah kenapa ada orang sanggup main-mainkan isu mati ni. Mungkin mereka betul nak doakan kematian saya. Kalau tak, tak kan sewenang-wenangnya hebahkan berita tak betul ini, siap pakai gambar terkini.

"Ini adalah anasir tak sihat yang dilakukan oleh orang yang tak sihat berperangai syaitan tetapi bertopengkan manusia. Kalau saya diberikan peluang memang saya nak berjumpa dengan orang-orang ini. Saya nak tanya apa yang dia tak puas hati sangat dengan saya," akhirinya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment