Gambar hiasan
BARU-baru ini penulis menerima Laporan Tahunan 2014 Amanah Saham Bumiputera (ASB). Penulis sering ternanti-nanti laporan ini kerana simpanan kaum Bumiputera di ASB menjadi proksi kepada kadar tabungan simpanan kaum ini di Malaysia. Mereka masih amat kurang melabur dalam unit-unit saham amanah yang lain.
Sekali imbas, secara kasarnya, ada peningkatan simpanan pada tahun lepas, di mana purata simpanan telah meningkat sebanyak 13 peratus sejak 2012, kepada RM15,928. Dalam erti kata lain, sejak dua tahun yang lepas, kaum Bumiputera telah meningkatkan tabungan sebanyak RM1,831.
Namun, jika dikaji lebih mendalam, terdapat jurang ketidaksamaan yang amat ketara. Jika dilihat simpanan 72 peratus pemegang saham ASB terbawah, yang berjumlah 6.16 juta penyimpan, data yang dianalisis amatlah menyedihkan.
Hakikatnya, majoriti kaum Bumiputera hanya mempunyai purata simpanan sebanyak RM536 dalam ASB pada tahun lepas. Inilah hakikatnya. Tidak pun sampai RM1,000. Sudahlah sedikit, ia makin berkurangan, dari RM611 pada 2012.
Berbanding purata simpanan keseluruhan yang menunjukkan peningkatan, simpanan golongan terbawah ini tidak meningkat, tetapi menurun sebanyak 12.3 peratus sejak 2012.
Disebabkan jumlah simpanan yang kecil, purata dividen yang diterima golongan ini juga rendah, iaitu hanya RM45 pada tahun lepas, ataupun RM3.75 sebulan. Jumlah ini sekadar cukup untuk bersarapan roti canai dan teh tarik sekali sebulan.
Ini amat berbeza dengan golongan kaya, atau lebih tepat lagi, kumpulan teratas yang merangkumi 0.2 peratus pemegang saham ASB.
Berbanding dengan majoriti penyimpan yang hanya mempunyai RM536, purata simpanan golongan atasan, ataupun lebih tepat lagi, 16,928 penyimpan, pada tahun lepas adalah RM745,038, ataupun lebih kurang 1,400 kali ganda daripada golongan bawah 72 peratus.
Malah, purata simpanan mereka juga meningkat sebanyak 7.7 peratus dari 2012 hingga tahun 2014. Dividen yang diterima mereka juga amatlah lumayan. Berbekalkan pelaburan pokok yang tinggi, golongan atas 0.2 peratus mendapat purata dividen sebanyak RM63,328 atau pun sejumlah RM5,277 sebulan.
Dalam erti kata lain, dividen yang diterima untuk tahun lepas cukup untuk membiayai pelajaran anak di universiti swasta tempatan, ataupun membeli secara tunai motosikal mewah Ducati Scrambler.
Adakah jurang penyimpanan makin melebar ataupun menguncup? Jelas, ia makin melebar. Pada pandangan penulis, kos sara hidup yang makin meningkat, dan purata gaji yang rendah, merupakan kekangan utama untuk majoriti kaum Bumiputera meningkatkan jumlah simpanan mereka.
Jika dilihat dari sudut ini, pelancaran Skim ASB 2 pada tahun lepas merupakan strategi yang kurang berkesan, hanya menguntungkan golongan kaya. Isu yang harus ditangani adalah kekangan kewangan, bukannya kekurangan tempat ataupun platform untuk menabung.
Harus diingatkan, isu kurangnya simpanan, ataupun jurang yang melebar, bukan hanya tertumpu di kaum Bumiputera sahaja, tetapi juga berlaku pada kaum-kaum lain. Malah, jurang pendapatan yang paling luas bukannya dalam kaum Bumiputera, tetapi dalam kaum bukan-Bumiputera, terutamanya kaum Cina.
Usaha murni pihak PNB, melalui Minggu Amanah Saham misalnya, bagi memujuk kaum Bumiputera untuk menabung dalam skim-skim amanah amatlah dialukan. Pada masa ini, lebih separuh kaum Bumiputera tidak mempunyai akaun simpanan di ASB, jumlah yang amat menyedihkan sekali.
Ini boleh dilonjakkan sekiranya ada kesedaran mengenai simpanan dan pelaburan yang boleh dipupuk pada usia masih muda dan di bangku sekolah lagi. Pihak PNB juga disaran agar mengkaji keperluan menyukarkan para penyimpan mengeluarkan simpanan mereka, kecuali pada akhir tahun.
Ini amatlah penting untuk memastikan penyimpan mendapat pulangan nominal dividen yang tinggi. Penulis difahamkan, majoriti penyimpan yang membuat potongan gaji selalunya akan mengeluarkan kembali simpanan mereka pada awal bulan.
Ini mungkin disebabkan kurangnya wang tunai untuk perbelanjaan bulanan, ataupun tiada penalti untuk membuat pengeluaran. Ini berbeza jika dibandingkan dengan skim simpanan lain yang mengenakan service charge untuk setiap keluaran. Mekanisme pengeluaran yang sesuai harus dikaji untuk memastikan tabungan majoriti makin bertambah.
Kita tidak mahu situasi di mana jurang di antara kaum Bumiputera makin meluas, menjadikan yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin bertambah miskin.
-------------------------------------------------------
- Sumber: Sinar and
* Penulis merupakan penyelidik ekonomi yang kini bertugas di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment