Setakat ini, lebih 60 kubur besar pelarian Rohingya ditemui di beberapa lokasi di wilayah Songkla yang bersempadan dengan Malaysia. - Gambar Fail
KAJANG: Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, hari ini berada di lokasi berkenaan bagi memantau dan melakukan pengecaman kubur-kubur berkenaan.
Khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
"Mungkin, satu kubur memuatkan tiga, empat atau hanya satu mayat. PGA dan VAT 69 masih menjalankan siasatan dan memeriksa kawasan itu. Dengan kerjasama Thailand, kami akan menjumpai lebih banyak mayat," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Keluarga KDN di Stadium Maktab Penjara Kajang.
18 Mei lalu, Khalid dilaporkan sebagai berkata, kira-kira 300 anggota pasukan komando VAT-69 telah diarahkan untuk mengeledah hutan tebal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mengesan aktiviti pemerdagangan manusia.
Operasi itu dilancarkan selepas pihak berkuasa Thailand menemukan beberapa kubur besar pendatang asing di dua kem milik sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar, Songkla, awal bulan ini.
Setakat ini, lebih 60 kubur besar pelarian Rohingya ditemui di beberapa lokasi di wilayah Songkla yang bersempadan dengan Malaysia.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment